GOMBAK, 23 MEI: Sebanyak 145 ekor lembu dan kambing diagihkan kepada beberapa komuniti termasuk surau dan masjid di Parlimen Gombak bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Kesemua sumbangan iaitu 119 lembu dan 26 kambing itu diserahkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yang juga ahli parlimen Gombak.
"Hari ini adalah serahan sumbangan tambahan kepada Parlimen Gombak dan seluruh Dewan Undangan Negerinya. Kita serahkan kepada penerima-penerima termasuk persatuan dan organisasi yang ingin melaksanakan ibadah korban.
"Saya percaya hampir semua yang ingin buat ibadah korban dapat dipenuhi berdasarkan permintaan termasuk bomba, polis dan badan kebajikan," katanya ditemui selepas agihan sumbangan tersebut hari ini.
Sebelum ini, EXCO pertanian berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan program tahun ini melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kata Dato' Ir Izham Hashim, sumbangan daripada 10 anak syarikat termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor serta Permodalan Negeri Selangor Berhad membabitkan 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing untuk diagihkan kepada masjid, surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, dalam ucapannya, Amirudin menjelaskan sejak 2008, Kerajaan Negeri tidak pernah gagal dalam melaksana dan menyampaikan sumbangan korban selain dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Kita serahkan kepada surau dan masjid serta pusat khidmat masyarakat. Cuma dalam tempoh dua tiga tahun ini sedikit berbeza kita turut sediakan kambing berbanding lembu untuk menambah lebih banyak jumlah yang disampaikan.
"Diharap dengan sumbangan diberikan dapat dimanfaatkan, mampu untuk dihubungkan amsyarakat dengan pelbagai aktiviti dan program disamping memberi peluang kepada mereka memerlukan yang melakukan ibadah korban yang semakin meningkat kosnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anggun Malaysia, Norlaili Abdul Rashid berkata mewakili persatuan beliau bersyukur menerima sumbangan korban tahun ini.
"Persatuan ditubuhkan sejak 2016 dan kita menjadi orang tengah dalam menyampaikan bantuan bakul makanan, program kemsyarakatan dan aktiviti orang Asli.
"Dengan adanya bantuan ini, kita akan agihkan kepada komuniti asnaf, mungkin dalam 50 hingga 60 orang yang memerlukan," katanya.









