Aidiladha: Trafik ke Pantai Timur dijangka meningkat hingga 26 Mei

23 Mei 2026, 9:29 AM
Aidiladha: Trafik ke Pantai Timur dijangka meningkat hingga 26 Mei

SHAH ALAM, 23 MEI: Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dijangka meningkat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 23 hingga 26 Mei ini.

Syarikat konsesi lebuh raya KLK dan LPT, AFA PRIME Berhad (AFA PRIME) memaklumkan peningkatan trafik dijangka berlaku terutama di Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak yang menjadi laluan utama ke Pantai Timur.

Susulan itu, syarikat konsesi lebuh raya berkenaan melaksanakan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu melancarkan pergerakan trafik sepanjang musim perayaan.

"Bagi perjalanan dari Kuala Lumpur dan Selangor ke Pahang pada 23, 24 dan 26 Mei, pengguna disaran memasuki lebuh raya antara jam 10 pagi hingga 2 petang atau 4 petang hingga 6 petang," katanya menerusi kenyataan.

Pengguna menuju ke Terengganu pula disaran memulakan perjalanan antara jam 8 pagi hingga 10 pagi atau 6 petang hingga 8 malam, manakala ke Kelantan antara 6 pagi hingga 8 pagi atau 8 malam hingga 10 malam.

Sementara itu, untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan Selangor pada 1 dan 2 Jun, pengguna dari Pahang disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.

"Bagi pengguna dari Terengganu, waktu perjalanan disyorkan ialah antara 11 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 10 malam, manakala dari Kelantan antara 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam," katanya.

Agensi itu turut menggalakkan pengguna memanfaatkan "waktu perjalanan bebas" antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi mengurangkan kesesakan.

Pengarah Urusan AFA PRIME Berhad Amnan Faleq Khalid berkata pengguna disaran merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi jadual TTA bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar.

"Dengan mengikuti TTA kami, para pemandu turut menyumbang kepada perjalanan yang tenang bagi semua pengguna di lebuh raya," katanya menerusi kenyataan sama.

Selain itu, pengguna kenderaan ringan dinasihatkan mengelakkan waktu puncak bas ekspres di Plaza Tol Gombak antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari serta 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi meminimumkan kesesakan.

AFA PRIME turut memaklumkan unit rondaan dan pasukan tindak balas kecemasan akan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pengguna lebuh raya dengan kadar segera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.