SHAH ALAM, 23 MEI: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri kesembilan terhadap 18 individu di Taman Permainan Kanak-Kanak, Kepong, bermula 9 pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun, terdiri 14 warganegara tempatan, dua warga Bangladesh serta seorang dari Myanmar dan Pakistan menjalani hukuman mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) (Pindaan 2025).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata mereka menjalani PKM selama empat jam kerana membuang puntung rokok di tempat awam, lapor Berita Harian.
"Pelaksanaan PKM membuktikan bahawa penguatkuasaan bukan sekadar hukuman, tetapi instrumen pendidikan sosial yang mampu membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran," katanya.
PKM siri kesembilan dilaksanakan serentak di enam negeri iaitu Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan dengan pembabitan keseluruhan seramai 76 pesalah yang diperintahkan mahkamah.
Tugasan pembersihan termasuklah kawasan longkang, sapuan siar kaki dan jalan awam serta mengutip sampah.
Sementara itu, SWCorp dalam kenyataan berkata PKM sebagai bentuk pemulihan yang memberi pengalaman langsung kepada pesalah terhadap realiti pengurusan kebersihan awam.
"Sehingga kini, sebanyak 101 lokasi hotspot dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Perlis (5 lokasi), Kedah (9 lokasi), Wilayah Persekutuan (17 lokasi), Negeri Sembilan (21 lokasi), Melaka (12 lokasi), Pahang (24 lokasi) dan Johor (13 lokasi).
"Sebanyak 7,919 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di semua negeri ini membabitkan 5,708 warganegara dan 2,211 warga asing.
"Statistik ini membuktikan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap kebersihan awam dengan memastikan kesalahan pembuangan sampah kecil tidak lagi dipandang ringan oleh mana-mana pihak," katanya.
SWCorp menegaskan pemeriksaan berkala akan terus dilakukan di kawasan awam serta premis perniagaan di samping memperkasakan sesi libat urus bersama peniaga dan komuniti setempat bagi menyemai budaya kebersihan.
Mulai 1 Januari 2026, kerajaan menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam, selaras dengan Akta 672.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan/atau Perintah Khidmat Masyarakat bagi tempoh maksimum 12 jam.








