WASHINGTON, 23 MEI: Tulsi Gabbard mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Perisikan Negara Amerika Syarikat (AS), susulan diagnosis suaminya yang menghidap sejenis kanser tulang yang jarang berlaku, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Pada masa ini, saya perlu berundur daripada perkhidmatan awam untuk berada di sisinya dan memberi sokongan penuh kepadanya dalam menghadapi ujian ini,” tulis Gabbard dalam surat kepada Presiden Donald Trump yang dikeluarkan oleh seorang pembantunya pada Jumaat.
Beliau berkata akan meletak jawatan itu pada 30 Jun.
Sebagai Pengarah Perisikan Negara, Gabbard menyelia komuniti perisikan AS dan berkhidmat sebagai penasihat utama presiden dalam hal ehwal perisikan.
Beliau memegang jawatan itu pada awal penggal kedua Trump, awal 2025.
Trump dalam hantaran di Truth Social berkata Gabbard telah melaksanakan tugas dengan “amat cemerlang, dan kami akan merinduinya.”
Beliau berkata timbalannya, Aaron Lukas akan memangku jawatan itu.
Gabbard pernah menjadi calon presiden Demokrat dari Hawaii sebelum menjadi ahli politik bebas, kemudian menyokong Trump pada 2024 dan menyertai Parti Republikan.
Keputusan Trump melantiknya ke jawatan tertinggi perisikan itu mencetuskan kontroversi kerana Gabbard sebelum ini dikritik kerana mengulangi naratif Rusia dan menyebarkan maklumat salah mengenai perang di Ukraine.
Pertemuannya pada 2017 dengan pemerintah Syria ketika itu, Bashar al-Assad semasa berkhidmat di Kongres turut mendapat perhatian.
Sebelum menyertai pentadbiran Trump, Gabbard dikenali sebagai penentang campur tangan ketenteraan AS di luar negara.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beliau dan Trump secara terbuka berbeza pendirian berhubung perang diketuai AS terhadap Iran, dengan presiden itu berkata Gabbard mengambil pendirian lebih sederhana berhubung pengayaan uranium berbanding beliau.
Gabbard turut menjadi perhatian sejak beberapa bulan kebelakangan ini berhubung pendiriannya sama ada program nuklear Iran menimbulkan ancaman langsung kepada AS — dakwaan yang digunakan Trump untuk mewajarkan penglibatan AS dalam perang itu.
Menurut penyiar PBS, Gabbard memberitahu sebuah jawatankuasa Senat dalam kenyataan bertulis bahawa Iran tidak berusaha membina semula keupayaan nuklearnya sejak serangan udara AS dan Israel pada Jun 2025.
Ketika ditanya dalam pendengaran Kongres pada Mac sama ada Iran menimbulkan ancaman segera, Gabbard mengelak daripada memberikan jawapan langsung.
“Satu-satunya orang yang boleh menentukan perkara yang menjadi atau tidak menjadi ancaman segera ialah presiden,” kata Gabbard.
-- BERNAMA-dpa




