Ulang lima juzuk sehari, disiplin jadi kunci kejayaan Muhammad Amnan

31 Mei 2026, 3:00 AM
Ulang lima juzuk sehari, disiplin jadi kunci kejayaan Muhammad Amnan
Ulang lima juzuk sehari, disiplin jadi kunci kejayaan Muhammad Amnan
Ulang lima juzuk sehari, disiplin jadi kunci kejayaan Muhammad Amnan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: “Jika Amnan jaga Al-Quran, Allah akan jaga Amnan.” 

Pesanan ibu menjadi dorongan Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23, kekal berdisiplin mengulang sekurang-kurangnya lima juzuk sehari hingga berjaya muncul sebagai Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 10 Juzuk (Lelaki) baru-baru ini. 

Muhammad Amnan berkata rutin tersebut bukan sahaja menjadi syarat minimum yang ditetapkan jurulatih malah membantu beliau untuk memperkukuh hafalan dan memastikan kelancaran bacaan sentiasa terpelihara.

“Setiap hari saya akan mengulang sekurang-kurangnya lima juzuk, biasanya selepas solat. Selain itu, saya memperuntuk dua hingga tiga jam selepas Subuh dan Maghrib khusus untuk menghafal. 

“Minat terhadap Al-Quran mula dipupuk sejak kecil apabila keluarga memperkenalkan saya dengan seni tarannum sebelum saya memberi tumpuan lebih serius dalam bidang hafazan ketika di bangku sekolah menengah,” katanya kepada Media Selangor. 

Johan Hafazan Selangor kategori Lelaki Juz 1-10, Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23 bercakap kepada media ketika di temu bual Media Selangor di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 23 April 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengakui dorongan berterusan daripada keluarga khususnya ibu bapa yang sentiasa mengingatkan beliau untuk menjaga Al-Quran, menjadi antara kekuatan utama untuk melangkah lebih jauh. 

Perjalanan Muhammad Amnan dalam dunia hafazan bermula di peringkat daerah Hulu Langat sebelum terpilih mengikuti pengajian di Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS), sekali gus membuka ruang memperkasa kemahiran dan keyakinan diri. 

Walaupun sebelum ini sering meraih tempat kedua dalam pertandingan yang disertai, anak keempat daripada lima beradik ini tidak menyangka akan muncul juara memandangkan saingan sengit daripada peserta dari seluruh negeri di Malaysia. 

“Saya memang tidak menyangka akan dinobatkan sebagai johan kerana sebelum ini dalam banyak pertandingan yang disertai, saya hanya meraih tempat kedua. Tambahan pula, saingan pada kali ini juga sangat sengit.

“Selain itu, saya turut berdepan cabaran apabila perlu menyesuaikan diri dengan bacaan pantas, iaitu sembilan baris dalam dua minit, berbanding kebiasaan mengulang hafalan secara lebih perlahan,” ujarnya. 

Johan Hafazan Selangor kategori Lelaki Juz 1-10, Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23, ketika sesi fotografi Media Selangor di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 23 April 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut menghargai peranan guru yang sentiasa memberi sokongan termasuk Ustaz Firdaus Bakrin dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh yang kerap menghubunginya setiap pagi selepas Subuh untuk sesi ulang kaji, walaupun kini beliau sudah bergelar alumni. 

Muhammad Amnan berkata selain keluarga dan guru, persekitaran turut memainkan peranan penting khususnya sebagai pelajar tahun akhir Kejuruteraan Perisian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), apabila rakan-rakan yang aktif membaca Al-Quran menjadi sumber motivasi tambahan. 

Bagi persiapan menghadapi pertandingan, Muhammad Amnan menjalani latihan intensif secara dalam talian setiap hari bersama jurulatih selain mengimarahkan masjid dengan menjadi imam solat tarawih sebagai latihan praktikal.

Johan Hafazan Selangor kategori Lelaki Juz 1-10, Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23 bercakap kepada media ketika di temu bual Media Selangor di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 23 April 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Walaupun pernah berdepan detik putus asa, beliau menjadikan pertandingan sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri dengan Al-Quran sambil menasihatkan agar hafazan dilakukan dengan kerelaan, bukan paksaan.

“Hafal Al-Quran perlu dilakukan dengan kerelaan, bukan paksaan. Gunakan Al-Quran yang sama dari awal hingga akhir supaya kita lebih serasi dan dekat dengannya, sekali gus memudahkan proses hafalan serta pemahaman ayat-ayatnya,” tambahnya.

Pada 18 April lalu, Muhammad Amnan mencatatkan prestasi cemerlang apabila menjuarai kategori Hafazan Juzuk 1 hingga 10 (Lelaki) pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 dengan markah 98.35. 

Kejayaan itu turut menyumbang kepada pencapaian Selangor apabila muncul sebagai johan keseluruhan dalam program yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu selepas meraih jumlah mata tertinggi dalam pertandingan berprestij itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.