RAWANG, 23 MEI: Integrasi dengan platform digital SELangkah menjadi antara kelebihan utama Hospital Pakar Selgate Rawang dalam mempercepat dan memudahkan akses pesakit kepada perkhidmatan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Selgate, Miranda Harumal berkata pesakit boleh mengurus proses pendaftaran serta kemasukan wad dengan lebih mudah menerusi platform berkenaan.
“Antara keunikan Hospital Pakar Selgate Rawang ialah pesakit boleh melalui proses pendaftaran dan kemasukan wad dengan mudah menerusi SELangkah.
“Kami bangga memiliki ekosistem ini kerana ia memudahkan orang ramai mengurus hal berkaitan penjagaan kesihatan di hospital kami,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Hospital Pakar Selgate Rawang di sini semalam.
Selain integrasi digital, Miranda berkata hospital itu turut menawarkan nilai tambah lain termasuk sokongan materniti dan perkhidmatan penjagaan selepas bersalin di rumah menerusi kerjasama dengan anak syarikat Selgate.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SELangkah yang dibangunkan ketika pandemik Covid-19 akan berkembang sebagai platform digital utama yang menghubungkan hospital dan klinik Selgate.
“SELangkah akan menjadi ekosistem e-dompet yang menghubungkan hospital dan klinik Selgate, sesuatu yang tidak terdapat dalam ekosistem penjagaan kesihatan lain,” katanya.
Beliau berkata sistem itu membolehkan latar belakang perubatan pesakit, rekod darah dan sejarah rawatan disepadukan secara digital dalam satu ekosistem kesihatan yang saling berhubung.
Hospital Selgate Rawang yang mula beroperasi pada Oktober 2025 kini mempunyai kira-kira 300 kakitangan termasuk 120 jururawat serta disokong hampir 30 doktor merangkumi lebih 20 bidang kepakaran dan subkepakaran.
Hospital itu juga bakal memperkenalkan kemudahan rawatan jantung termasuk makmal kateterisasi (cath lab) menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan akses rawatan jantung di utara Selangor.








