SHAH ALAM, 23 MEI: Tahun ini menandakan genap 29 tahun kejayaan dua rakyat Malaysia, Datuk M Magendran dan Datuk N Mohanadas menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada 23 Mei 1997.
Dalam temu bual sempena ulang tahun bersejarah itu, Magendran berkata detik berdiri di puncak Everest masih segar dalam ingatannya walaupun hampir tiga dekad berlalu.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya simbol keyakinan rakyat Malaysia ketika itu bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai.
“Kalau ingat balik, memang saya masih rasa sebak. Bukan sebab puncak sahaja, tapi sebab sepanjang perjalanan ramai yang kata mustahil untuk kita sampai.
“Orang tengok kita macam… ‘betul ke rakyat Malaysia boleh buat benda ni?’ Jadi bila berdiri dekat atas tu, rasa dia susah nak cerita,” katanya.
Magendran tiba di puncak Everest pada jam 11.55 pagi waktu Nepal sebelum Mohanadas menyusul 15 minit kemudian, sekali gus menjadikan mereka rakyat Malaysia pertama dan antara rakyat Asia Tenggara terawal menawan gunung setinggi 8,848 meter itu.

Beliau berkata saat mengibarkan Jalur Gemilang di puncak dunia menjadi antara detik paling emosional dalam hidupnya.
“Bila Jalur Gemilang dibuka dekat puncak tu, saya rasa macam seluruh rakyat Malaysia ada sekali dengan kami. Masa tu memang rasa bangga sangat. Penat, sejuk… semua macam hilang sekejap,” katanya.
Ekspedisi tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Malaysia-Everest ’97 yang disertai 10 pendaki Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Mendaki Malaysia.
Menurut Magendran, kejayaan itu bukan bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi juga kepercayaan sesama rakan pendaki dan keyakinan bahawa rakyat Malaysia mampu pergi lebih jauh.
“Kalau tanya apa yang bawa kami sampai ke atas, bukan semata-mata kekuatan fizikal. Kami percaya pada satu sama lain, dan kami percaya rakyat Malaysia sebenarnya mampu pergi jauh kalau diberi peluang dan usaha,” ujarnya.
Beliau turut mengakui cabaran sebenar bukan hanya ketika berada di zon kematian atau ‘death zone’, tetapi sepanjang perjalanan yang menuntut ketahanan mental tinggi.
Katanya, keadaan cuaca ekstrem, kekurangan oksigen dan keletihan melampau menjadikan setiap langkah di Everest sangat mencabar.
“Ada masa saya rasa macam satu langkah pun berat sangat. Kita jalan lima enam langkah, lepas tu berhenti tarik nafas lama-lama. Memang lawan mental lebih daripada lawan badan,” katanya lagi.
Magendran berkata kejayaan menawan Everest tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya hasil latihan berbulan-bulan, pengorbanan besar dan disiplin tinggi setiap peserta ekspedisi.
Kini selepas 29 tahun, beliau masih aktif dalam aktiviti pendakian dan sering berkongsi pengalaman dengan generasi muda mengenai nilai ketabahan, disiplin dan keberanian mengejar impian.
“Kalau saya jumpa budak-budak muda, saya selalu cakap… jangan takut cuba. Kita tak tahu kita boleh sampai mana kalau kita tak gerakkan langkah pertama,” katanya.
“Saya bukan datang daripada keluarga pendaki gunung pun. Saya cuma seorang rakyat Malaysia biasa yang ada impian besar dan sanggup kerja keras untuk capai impian tu. Jadi saya percaya sesiapa pun boleh buat perkara luar biasa kalau ada disiplin dan semangat,” tambah beliau.
Atas jasa dan sumbangannya kepada negara, Magendran turut menerima pelbagai pengiktirafan dan darjah kebesaran.
Antaranya ialah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2011, Darjah Setia Mahkota Malaysia (JSM) pada 2004 serta Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 1997.
Beliau juga dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk pada 2010 selain Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 1999.
Di peringkat antarabangsa, beliau menerima Mount Everest Golden Jubilee Celebration Medal daripada Nepal pada 2003 sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya menawan Everest.
“Bagi saya, penghargaan itu bukan untuk saya seorang. Ia untuk semua yang terlibat dalam ekspedisi dan juga rakyat Malaysia yang sentiasa percaya serta menyokong kami sejak awal,” katanya.
Kejayaan pada 1997 itu terus kekal sebagai antara detik paling bersejarah dalam sukan negara, membuka jalan kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk berani mencuba cabaran di pergunungan tertinggi dunia selepas itu.









