RAWANG, 22 MEI: Selgate Corporation Sdn Bhd hari ini merasmikan Hospital Pakar Selgate Rawang, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan rangkaian perkhidmatan kesihatannya di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata hospital itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat tersebut bersama Kerajaan Negeri dalam memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Bukan sekadar pembukaan sebuah hospital, ia melambangkan komitmen jangka panjang Selgate dan Kerajaan Selangor untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan moden dan berkualiti yang lebih dekat dengan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hospital Pakar Selgate Rawang, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin serta EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Noor Hisham berkata Selgate kini bukan sahaja menumpukan kepada segmen penjagaan kesihatan, sebaliknya turut membangunkan ekosistem kesihatan yang lebih menyeluruh merangkumi hospital, penjagaan primer, diagnostik, farmaseutikal, kesihatan digital, perlindungan kesihatan serta perkhidmatan berasaskan komuniti.
Menurutnya, Selgate telah berkembang dengan ketara sejak penubuhannya pada 2015 apabila Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada syarikat itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam sektor kesihatan.

Beliau turut memaklumkan Hospital Pakar Selgate Rawang siap lebih awal daripada jadual selepas Selgate menggabungkan dua fasa pembangunan ketika pandemik Covid-19 bagi mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Hospital berkenaan mula beroperasi secara rasmi pada Oktober 2025 dan kini menawarkan lebih 20 kepakaran serta subkepakaran yang disokong lebih 30 doktor pakar.
Menurut Noor Hisham, Hospital Pakar Selgate Rawang turut akan memperkenalkan kemudahan rawatan jantung termasuk makmal kateterisasi (cath lab) menjelang hujung tahun ini bagi memperkukuh akses rawatan kardiologi di utara Selangor.
“Penyakit jantung kekal sebagai antara cabaran kesihatan utama negara. Akses kepada rawatan jantung yang berkualiti dan tepat pada masanya perlu terus diperkukuh, khususnya di utara Selangor,” katanya.

Beliau turut mengumumkan perancangan Selgate untuk membangunkan pusat perkhidmatan jantung bersepadu bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh yang disasarkan siap menjelang akhir 2026.
“Kerjasama ini mencerminkan kekuatan perkongsian awam-swasta yang menggabungkan kepakaran klinikal, kecemerlangan akademik, keupayaan penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan dalam satu ekosistem bersepadu,” katanya.
Noor Hisham berkata Selgate akan terus memperluas rangkaian hospitalnya termasuk pembangunan fasiliti di Sepang dan Setia Alam sebagai usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan pakar di seluruh Selangor.
“Kami bukan sekadar membina hospital. Kami sedang membangunkan rangkaian penjagaan kesihatan yang mampan untuk menyokong keperluan rakyat bagi generasi akan datang,” katanya.








