169,803 calon lepasan SPM 2025 ditawar IPTA

22 Mei 2026, 9:09 AM
169,803 calon lepasan SPM 2025 ditawar IPTA
169,803 calon lepasan SPM 2025 ditawar IPTA
169,803 calon lepasan SPM 2025 ditawar IPTA
169,803 calon lepasan SPM 2025 ditawar IPTA

SHAH ALAM, 22 MEI: Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

Menurut kementerian, daripada jumlah keseluruhan tawaran berkenaan, seramai 91,357 calon ditawarkan tempat di UA diikuti 60,947 di politeknik, 15,844 di Kolej Komuniti dan 1,655 di MARA BPT.

KPT berkata pihaknya turut menyediakan laluan khas kepada beberapa kategori calon termasuk 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet serta 10,499 calon daripada keluarga berpendapatan rendah kategori B40.

“Selain itu, seramai 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mendapat tawaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, kementerian memaklumkan buat pertama kali semua program pengajian dibuka untuk dipohon oleh calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing.

Katanya, langkah itu dilaksanakan sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua lapisan masyarakat.

KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas sebagai komitmen memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya menyambung pengajian.

Secara keseluruhan, 363 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini merangkumi 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu program ijazah sarjana muda.

Menurut kementerian, proses kemasukan pelajar dilaksanakan berasaskan prinsip meritokrasi dengan semua calon layak disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Bagi calon yang tidak menerima tawaran, KPT membuka peluang kedua menerusi proses rayuan UPUOnline selama 10 hari bermula jam 12 tengah hari hari ini hingga jam 5 petang pada 31 Mei depan.

“Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.