Jajaran WCE Seksyen 3 dijangka siap hujung tahun, lancar laluan logistik utara-selatan

22 Mei 2026, 8:31 AM
Jajaran WCE Seksyen 3 dijangka siap hujung tahun, lancar laluan logistik utara-selatan

SHAH ALAM, 22 MEI: Jajaran Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini sekali gus melengkapkan sambungan Seksyen 1 dan 2.

WCE memaklumkan pembukaan jajaran baharu itu dijangka membantu melancarkan pergerakan trafik terutama kenderaan berat dari arah utara ke selatan selain mengurangkan kesesakan di laluan utama sedia ada.

Menurutnya, kemajuan pembinaan Seksyen 3 kini berjalan lancar dan dijangka boleh dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan.

“WCE dapat membantu mengurangkan aliran trafik, selain laluannya yang lebih landai berbanding lebuh raya lain, sekali gus lebih menjimatkan penggunaan minyak terutama bagi kenderaan berat.

“Kemajuan projek ini meningkat, jangkaan hujung tahun ini siap dan mungkin dapat dibuka untuk operasi pada suku pertama tahun depan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

WCE menjelaskan jajaran itu turut menjadi penghubung strategik kepada beberapa hab pengangkutan dan pelabuhan utama termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Banting.

Semua lapan seksyen WCE termasuk laluan di Perak dari Hutan Melintang hingga Taiping Selatan telah siap sepenuhnya sejak tahun lalu dan kini merekodkan aliran trafik harian sekitar 100,000 kenderaan.

Mengulas kemudahan pengguna, WCE berkata beberapa stesen minyak dalam radius dua kilometer sedang dibangunkan selain penyediaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang laluan lebuh raya tersebut.

Katanya, kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) berkuasa tinggi juga telah disediakan di Sungai Nyior, Bukit Kapar, Johan Setia dan Sijangkang, manakala baki fasiliti dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Kalau musim perayaan, aliran trafik boleh mencecah antara 160,000 hingga 180,000 sehari dengan sasaran keseluruhan apabila semua 11 seksyen siap nanti adalah sekitar 300,000 kenderaan sehari.

“Memang dalam perancangan akan ada stesen minyak di laluan WCE nanti, cuma masih dalam proses pembangunan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.