Kerajaan Negeri sedia dedah laporan penuh siasatan letupan gas Putra Heights - MB

22 Mei 2026, 6:02 AM
Kerajaan Negeri sedia dedah laporan penuh siasatan letupan gas Putra Heights - MB
Kerajaan Negeri sedia dedah laporan penuh siasatan letupan gas Putra Heights - MB
Kerajaan Negeri sedia dedah laporan penuh siasatan letupan gas Putra Heights - MB

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan laporan penuh siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya kepada umum demi memastikan ketelusan berhubung kejadian itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian, namun masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan kerana siasatan turut melibatkan agensi di bawah bidang kuasa pusat.

“Laporan penuh sudah ada, kita sedang tunggu laporan daripada Kerajaan Persekutuan sebab ia melibatkan agensi Persekutuan. Jadi negeri tiada masalah, saya memang akan mengesyorkan untuk ia didedahkan dan boleh ditonton atau pun disemak.

“Laporan ini terdiri daripada laporan jawatankuasa bebas yang mana ada dua wakil dipilih pihak pembangkang termasuk pakar-pakar untuk menyemak laporan siasatan yang telah dibuat oleh pasukan petugas rasmi di kalangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, polis dan sebagainya yang telah kita bentangkan dalam sidang dewan lepas.

“Jadi Kerajaan Negeri bersikap telus dan boleh menyemak apa yang diputuskan. Saya rasa tidak ada perbezaan yang ketara daripada kedua-dua laporan yang telah ditunjukkan tetapi ialah sebahagiannya bahasa teknikal yang melibatkan pengetahuan berkenaan dengan pengurusan paip kejuteraan dan sebagainya. Jadi saya minta pihak pegawai untuk maklum balas pada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang SPM 2025 dalam Majlis peluncuran PTRS dan Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 22 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR 

Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut mengambil kira pandangan Kerajaan Persekutuan memandangkan beberapa aspek siasatan berada di bawah bidang kuasa agensi pusat selain melibatkan tindakan undang-undang yang masih berjalan.

“Ada banyak agensi melibatkan agensi Persekutuan di bawah bidang kuasa. Sebab itu saya rujuk kepada mereka dulu, boleh tak kita kemukakan walaupun ada pelbagai pandangan dan cadang tak perlu.

“Pada masa sama ada kes yang sedang berjalan melibatkan saman yang dikemukakan penduduk Putra Heights kepada beberapa pihak. Jadi apakah pengeluaran itu akan mengganggu proses siasatan atau saman itu juga saya rujuk kepada peguam dan sebagainya,” ujarnya.

Pada September tahun lalu, Kerajaan Selangor melantik jawatankuasa bebas diketuai Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Dr Khamarrul Azahari Razak bagi menyiasat insiden letupan itu.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata penubuhan jawatankuasa itu selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan ketelusan serta menjadikan keselamatan awam sebagai keutamaan dalam menangani insiden melibatkan infrastruktur kritikal.

Insiden pada 1 April tahun lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terjejas tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.