Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak

24 Mei 2026, 7:00 AM
Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak
Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak
Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak
Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak
Destinasi pelancongan mesra kanak-kanak

Selangor sememangnya destinasi pelancongan pilihan untuk seisi keluarga. Mudah diakses dan penuh daya tarikan. Negeri ini menjanjikan pengalaman percutian yang menyeronokkan dan bermakna.

Dari interaktif untuk kanak-kanak hingga ke ruang santai kepada ibu bapa, setiap lokasi menawarkan pengalaman yang menggabungkan hiburan dan pembelajaran dalam satu pengembaraan.

Cuti sekolah waktu terbaik meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga. Nikmati keindahan taman alam semula jadi, terokai muzium coklat, kagumi dunia robotik futuristik, alami pengembaraan dinosaur animatronik dan berehat di resort berkonsep alam semula jadi.

Wartawan Sheeda Fathil menyenaraikan destinasi pelancongan mesra kanak-kanak yang wajib dikunjungi bersama keluarga di Selangor.

FARM IN THE CITY

Suka haiwan peliharaan? Mahu melihat lebih dekat atau menyentuhnya? Datang ke Farm In The City, Seri Kembangan yang terletak kira-kira 30 minit dari Kuala Lumpur. Anda juga dapat merasai pengalaman memberi haiwan makan.

Zoo ini terbahagi kepada 11 habitat antaranya Turtle & Tortoise Farm, Pets Village, Rabbit Farm, dan Bird Aviary. Bukan sahaja anak, ibu bapa juga pasti terhibur melihat keletah haiwan.

Waktu Operasi:

  • Isnin - Jumaat: 10 pagi-6 petang

  • Sabtu dan Ahad: 9.30 pagi-6 petang

Harga Tiket:

  • Kanak-kanak: 11 tahun ke bawah RM38 (warganegara) RM58 (bukan warganegara)

  • Dewasa: RM48 (warganegara) RM68 (bukan warganegara)

  • Warga emas: RM38 (warganegara) RM58 (bukan warganegara)

DINO DESERT

Bagi kanak-kanak yang meminati dinosaur, Dino Desert di Monkey Canopy Resort, Sungai Long, Kajang pasti memberi kenangan yang sukar dilupakan. Taman tema ini menampilkan lebih 140 dinosaur animatronik saiz sebenar dalam suasana padang pasir prasejarah yang interaktif.

Kanak-kanak boleh berjalan di antara dinosour yang bergerak dan mengeluarkan bunyi seakan-akan benar sambil mempelajari fakta dunia prasejarah.

Ibu bapa boleh menempah penginapan di Monkey Canopy Resort semasa membawa anak beriadah di sekitar kawasan tersebut.

Selain Dino Desert, boleh juga ke Monkey Splash Zone; Monkey Canopy Go-Kart dan Enchanted Forest. Satu lokasi aneka memori tercipta.

Waktu Operasi:

  • Setiap hari: 10 pagi-10 malam

  • Waktu masuk akhir: 8.30 malam

Harga Tiket:

  • Kanak-kanak bawah 2 tahun: Percuma

  • Kanak-kanak 2-12 tahun: RM45

  • Dewasa: RM55

  • Warga emas: RM45

KIDZANIA KUALA LUMPUR

Terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya, Kidzania Kuala Lumpur pasti menjadi lokasi tarikan menakjubkan buat kanak-kanak. Sebagai ibu bapa yang pernah melalui susah payah kehidupan apabila dewasa, dunia pekerjaan suatu perkara mustahak.

Jadi, apa kata bawa anak ke sini, sebuah dunia untuk mereka memilih pekerjaan yang ingin dicuba antaranya doktor, bomba, polis, jururawat, penyampai radio dan pelbagai lagi.

Dalam bersosial bersama kanak-kanak lain, anak-anak dapat mengasah kreativiti dan kemampuan berfikir kreatif dan kritis. Di Kidzania, anak-anak ini akan diberi ‘gaji’ dan berpeluang ‘membeli-belah’ di sini.

Waktu Operasi:

  • 10 pagi - 6 petang

Harga Tiket:

  • Kanak-kanak 3-5 tahun: RM40.60

  • Kanak-kanak 6-17 tahun: RM84

  • Dewasa 18-59 tahun: RM48.30

  • Bayi dan Warga Emas: Percuma

AI WORLD EXPERIENCE I-CITY THEME PARK

Selain terkenal dengan lampu LED ikoniknya, i-City menawarkan pengalaman futuristik melalui tarikan robotik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menarik untuk kanak-kanak.

Pengunjung boleh meneroka dunia digital interaktif, bertemu robot AI serta menikmati pelbagai permainan teknologi moden yang menyeronokkan dan bersifat edukatif.

Pengunjung juga akan disambut robot humanoid pintar seperti Luka, I Mimi dan I Miki yang boleh bergerak, berinteraksi dan berkomunikasi dengan pengunjung. Kanak-kanak pasti teruja melihat robot AI bergerak dan bercakap dalam masa nyata.

Waktu Operasi:

  • 9 pagi - 5 petang

Harga Tiket:

  • Bermula sekitar RM35 - RM100 (Bergantung kepada tiket pilihan)

MUZIUM COKLAT

Muzium di Kota Damansara, Petaling Jaya menawarkan pengalaman unik untuk mengenali sejarah dan proses penghasilan daripada biji koko hingga menjadi produk kegemaran ramai.

Kanak-kanak pasti teruja melihat demonstrasi pembuatan dan peluang merasai aneka perisa coklat tempatan dan antarabangsa.

Acara utama antaranya lawatan coklat interaktif, demonstrasi pembuatan secara langsung, sesi mencicip (tasting), bergambar di galeri interaktif selain berpeluang membeli lebih 100 jenama tempatan dan antarabangsa. Selain itu, kanak-kanak juga membuat sendiri coklat atau DIY (do it yourself).

Waktu Operasi:

  • Setiap hari: 9.30 pagi – 5.00 petang

Harga Tiket:

  • Pra-sekolah: RM3

  • Kanak-kanak / Pelajar: RM4

  • Dewasa: RM6

SELANGOR FRUITS VALLEY

Terletak di Bestari Jaya, Selangor Fruits Valley hanya kira-kira 50 minit dari Kuala Lumpur. Ia menawarkan pengalaman agropelancongan yang menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Kanak-kanak boleh memberi makan rusa dan arnab, melawat ladang buah-buahan tropika serta menaiki tram mengelilingi ladang nan luas. Destinasi ini sesuai untuk memperkenal dunia pertanian dan alam semula jadi kepada anak-anak dalam santai dan interaktif.

Waktu operasi:

  • Setiap hari: 9 pagi - 4 petang

Harga Tiket:

  • Bermula sekitar RM15 - RM35 (Bergantung kepada aktiviti dan pakej pilihan)

BEACON RESORT

Bagi keluarga yang mencari pengalaman bercuti dalam suasana alam semula jadi, Beacon Resort di Kalumpang pilihan ideal untuk ‘short getaway’ bersama anak-anak. Resort itu terkenal dengan tarikan ikonik White Castle yang menawarkan suasana dunia fantasi dan pelbagai acara mesra kanak-kanak.

Paras air sungai yang cetek dan tenang juga sesuai untuk mandi-manda bersama ahli keluarga. Selain itu, resort tersebut menyediakan lokasi permainan, kegiatan lapangan dan lokasi fotografi untuk seisi keluarga.

Waktu Operasi:

  • Dibuka setiap hari

  • Daftar masuk: 3.00 petang

  • Daftar keluar: 12.00 tengah hari

Harga Penginapan:

  • Bermula sekitar RM200+ semalam (Bergantung kepada jenis bilik dan pakej pilihan)

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.