SHAH ALAM, 22 MEI: TikTok diarah melaksanakan pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan, susulan Tuntutan Statutori dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kandungan menghina Institusi Diraja Malaysia.
Tindakan itu dibuat selepas penularan kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan berunsur ancaman yang dikaitkan dengan akaun kononnya berkaitan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"SKMM memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
"Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan," menurut SKMM dalam kenyataan.
SKMM memaklumkan, kandungan berkenaan turut melibatkan video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi yang dipercayai boleh melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang jenayah lain di negara ini.
Suruhanjaya itu berkata, pihaknya sebelum ini sudah melaksanakan makluman dan libat urus dengan TikTok, namun respons platform terbabit didapati masih belum memuaskan terutama dalam memastikan kandungan berkenaan diturunkan segera dan tidak terus tersebar.
"Pengeluaran Tuntutan Statutori ini menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera, termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.
"TikTok juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, TikTok turut diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung tindakan menangani kandungan mudarat terbabit selain memastikan platform mereka tidak disalah guna bagi aktiviti yang memudaratkan dan menyalahi undang-undang.
"SKMM akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal dalam bidang kuasanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar, bagi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.
"Pemberi perkhidmatan media sosial harus bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam," tegas SKMM.








