SHAH ALAM, 22 MEI: Semua 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, selamat tiba di Istanbul, Turkiye jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan, lapor Berita Harian.
"Semua 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, selamat tiba di Istanbul, Turkiye jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.
"Setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan," katanya.
Malam tadi media melaporkan semua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa, dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata SNCC dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.
Menurutnya, SNCC mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.
Sani Araby berkata delegasi Malaysia dijangka melalui fasa pemeriksaan kesihatan di hospital Turkiye bagi mendapatkan laporan perubatan berikutan maklumat bahawa ada tahanan yang dipukul serta mengalami kecederaan.
Beliau berkata SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan terbang dan pulang ke tanah air pada 23 Mei dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 24 Mei.










