Jom! Makan angin ke anjung utara Selangor

23 Mei 2026, 12:52 AM
Jom! Makan angin ke anjung utara Selangor

Suasana nyaman dan lokasi yang tidak terlalu jauh dari ibu kota menjadikan anjung utara Selangor pilihan ideal untuk percutian singkat. Lebih satu juta pelancong domestik dan antarabangsa dijangka ke lokasi berkenaan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Sasaran itu berdasarkan pelbagai destinasi menarik termasuk lokasi bersejarah, keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian pilihan makanan laut bermula dari Kuala Selangor hingga ke Sabak Bernam.

Kerjasama Kerajaan Selangor dan persekutuan membina Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) turut memudahkan perjalanan. Wartawan Nadiah Zamlus menyenaraikan jadual perjalanan yang boleh dinikmati orang ramai sepanjang berada di anjung utara Selangor.

Tentunya percutian dua hari satu malam tidak mencukupi, namun ia boleh dijadikan sebagai panduan sepanjang musim cuti sekolah kelak.

Amats Breakfast

  • Kampung Bukit Hijau Jeram

  • Hari operasi: Khamis hingga Isnin

  • Waktu operasi: 8 pagi hingga habis

  • (kebiasaan tutup jam 11 atau 12 tengah hari)

  • Harga: RM5 hingga RM20

Jika sampai awal di destinasi, boleh bersarapan dahulu di sini. Gerai comel di tepi Jalan Rizab Derahman menawarkan menu istimewa seperti lontong darat, kacang pool, nasi lemak berlauk dan lempeng sambal lejen. Jika anak-anak tidak mahu hidangan tempatan, ada set menu makanan barat iaitu big breakfast

Kenon 14

  • Gerai No 7 Medan Selera Jalan Klang -Teluk Intan, Jeram

  • Hari operasi: Selasa hingga Ahad

  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 12.30 tengah hari

  • Harga: RM1 hingga RM20

Satu lagi gerai sarapan yang boleh disinggah ada menjual kuih unik iaitu putu buluh kuning. Biasanya ia berwarna putih ataupun hijau bagi perisa pandan. Akan tetapi, di gerai ini ada putu berwarna kuning.

Menurut pemiliknya, makanan berharga RM1 itu dimasak menggunakan beras yang dikisar dan dicampur kunyit dan kelapa. Ia dimasak tiga lapisan dan diselang seli dengan gula melaka

Seni mural jalanan

  • Jalan Raja Lumu

  • Harga: percuma

Lorong kecil yang cukup ikonik di Kuala Selangor ini menampilkan kira-kira 20 karya mural yang menceritakan kisah Bukit Malawati sebagai kubu pertahanan pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 ketika menangkis serangan Belanda.

Antara lukisan yang menarik perhatian ialah mural Legenda Makam Anak Dara iaitu kisah gadis yang hilang secara misteri pada malam pernikahannya. Selain menghayati seni mural, pengunjung boleh mengabadikan foto kenangan kerana lokasi ini bersifat ‘instagrammable’

Bukit Malawati

  • Hari operasi: Dibuka setiap hari

  • Harga bayaran tram: RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak)

  • Masa operasi tram: Sabtu, Ahad dan cuti umum

Di sinilah benteng Selangor bertahan daripada penjajah dan pernah bergelar pusat pentadbiran Kesultanan Selangor. Selain menaiki tram ke puncak bukit, orang ramai boleh berbasikal, menunggang motosikal atau memandu kenderaan ringan (hanya pada hari bekerja).

Kaya dengan sejarah, di situ terdapat pelbagai peninggalan seperti meriam, perigi beracun yang pernah menjadi tempat hukuman penderhaka, juga batu hampar. Pemandangan menghadap Selat Melaka pula cukup indah. Justeru, Rumah Api Bukit Malawati dibina lebih 100 tahun masih lagi berfungsi hingga ke saat ini

Masjid Raja Lumu

  • Jalan Raja Lumu

Terletak bersebelahan Bukit Malawati, masjid diraja kesembilan Selangor ini begitu mempesona. Bangunannya berwarna putih manakala kubahnya diperbuat daripada tembaga dan tidak perlu dicat kerana bahannya diimport dari Jerman.

Ruangan dalamnya juga kemas dan mempunyai pengudaraan cukup baik. Selain tenang untuk beribadah, panorama masjid menggamit pasangan pengantin baharu merakam kenangan

Hotel Le Shore

  • Jalan Sungai Yu, Pasir Penambang

  • Harga : RM100 hingga RM300

Jika penat seharian berjalan, boleh menginap di hotel yang menawarkan pemandangan indah sungai dari balkoni bilik. Harga berpatutan menjadi pilihan ramai pengunjung. Ia juga salah sebuah hotel pilihan Tourism Selangor.

Ketika mendaftar masuk, pengurusan hotel menyediakan beberapa pakej lawatan termasuk pakej menonton dan memberi makan helang dari bot. Pakej lain ialah melihat kilauan cantik ‘Blue Tears’ pada malam hari

Homestay Kampung Style

  • Jalan Tali Air 9 Sekinchan

  • Harga: RM300

Rumah inap ini cukup unik, mampu memuatkan enam penghuni dalam sesebuah rumah. Ia dilengkapi tandas dan juga ruangan dapur mini. Rumah ini sesuai untuk keluarga dari bandar yang ingin membawa anak merasai pengalaman tinggal di kampung.

Pemiliknya juga menyediakan joran yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Ruangan dapur luas di halaman yang boleh digunakan jika ingin memasak barbeku dengan keluarga

Sekinchan Padi Sentral Homestay

  • Jalan Tali Air 5

  • Harga: RM150 sehingga RM300

Jika kena pada waktunya, anda berpeluang menginap di hotel dengan pemandangan indah sawah menghijau terbentang depan mata. Bentuk bangunan seperti rumah burung itu terletak betul-betul di tengah-tengah sawah.

Di bahagian belakang hotel pula tersedia tangga tinggi yang diberi jolokan ‘Stairway to Heaven’ dan buaian. Ia sering menjadi lokasi orang ramai merakam kenangan

Hay Cafe

  • Jalan Tali Air 5

  • Hari operasi: Isnin hingga Ahad

  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 7 petang

  • Harga: RM8 hingga RM25

Terletak kurang 10 minit dari Sekinchan Padi Sentral Homestay, kafe di tengah-tengah sawah ini cukup indah mata memandang. Anda boleh memesan minuman kopi mesin seperti latte dan juga manisan seperti kek dan aiskrim. Kafe ini sesuai menjadi tempat berbual-bual, berkongsi cerita dengan sahabat mahupun keluarga kerana dek ketenangannya

Water Bike Tanjung Karang

  • Kunci Air Buang

  • Hari operasi: Isnin hingga Ahad

  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang

  • Harga: RM30 (basikal air) dan RM35 (bot itik)

Biasa menggunakan basikal air di kawasan tasik? Kali ini anda berpeluang berbasikal di laluan tali air. Baru dibuka pada April lalu, kegiatan berbasikal air semakin tular di media sosial. Difahamkan, ia pertama seumpamanya di Kuala Selangor sekali gus memajukan ekopelancongan Kunci Air Buang

ATV KAB

  • Kunci Air Buang

  • Hari operasi: Isnin hingga Ahad

  • Waktu operasi: 8.30 pagi hingga 6 petang

  • Harga: RM50 (ATV 130CC) dan RM90 (ATV 200CC) untuk setengah jam pemanduan

Pengunjung boleh mencuba permainan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di Kuala Selangor. Sebanyak 40 ATV disediakan untuk orang ramai merasai sendiri laluan litar seluas 1.2 hektar yang mengelilingi sawah. Pemiliknya menyediakan menara tinjau untuk pengunjung merakam gambar dari bahagian atas untuk menyaksikan pemandangan keseluruhan trek

Mi Udang Banjir Tanjong Karang

  • Kampung Tengah

  • Hari operasi: Isnin hingga Ahad

  • Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 10 malam

  • Harga: RM10 hingga RM25

Penat seharian, anda bolehlah ke sini pada waktu malam untuk mencuba makanan laut. Mi udang banjir special dan mi goreng udang special antara hidangan pilihan pelanggan. Menu lain termasuk mi sotong kurita, mi sotong apollo, mi udang galah dan nasi goreng udang celup tepung. Restorannya terletak di tepi jalan dan ruangan parkir luas tambah memudahkan orang ramai

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.