SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri mengambil berat titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya pemimpin politik terus menjadi ejen penyatu dan bukan pemecah belah rakyat.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata nasihat Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa menjadi panduan dalam pelaksanaan dasar untuk membugarkan ekonomi Selangor.
Menjunjung titah Bagida, beliau juga yakin titah Tuanku untuk memastikan rakyat Selangor dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman, makmur, bersatu padu dan terbela.
"Sebagai seorang Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, patik menjunjung kasih titah Tuanku yang prihatin dengan keharmonian dan perpaduan rakyat Tuanku di Selangor.
"Nasihat Tuanku supaya semua pemimpin politik terus menjadi ejen penyatu bukan memecahbelah akan diambil berat," katanya dalam kenyataan petang ini.
Sze Han turut menyeru rakyat untuk memahami nasihat Tuanku supaya menjunjung tinggi nilai murni, saling menghormati dan mengamalkan tatasusila yang luhur, sesuai nilai Rukun Negara.
Dalam titah ucapan sempena Aidiladha, Sultan Selangor menyeru rakyat pelbagai kaum sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi memelihara keharmonian dan kestabilan negara.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Dalam kenyataan berasingan, Dato’ Menteri Besar menggesa semua pihak termasuk pembangkang menghentikan amalan setia berpilih-pilih yang mempertahankan Raja, agama dan bangsa apabila menguntungkan kedudukan politik mereka.
Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan sikap itu memperlihatkan sesetengah pihak mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri.








