Lelaki ditemukan maut dalam bilik mandi

21 Mei 2026, 7:54 AM
Lelaki ditemukan maut dalam bilik mandi

SHAH ALAM, 21 MEI: Lelaki berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan tikaman pada leher di sebuah rumah di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bharu semalam.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik mandi oleh ahli keluarganya kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, turut ditemukan sebilah pisau di tangan mangsa ketika kejadian.

“Ibu saudara mangsa memaklumkan melihat darah di lantai ketika ke bilik mandi dan ternampak mangsa dalam keadaan berdarah dengan pisau di tangan serta kesan luka di leher,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua kesan tikaman di bahagian dagu, satu di leher serta satu tikaman kecil pada bahagian perut.

Mohd Azmir berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit namun pernah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu ketika mula bekerja di Johor.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja di Pasir Gudang pulang ke kampung halamannya pada 16 Mei lalu.

Katanya, polis tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah di lokasi kejadian setakat ini.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat luka tikaman di leher.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.