Hilang kerja bukan pengakhiran, pakar saran belajar kemahiran baharu

22 Mei 2026, 3:00 AM
Hilang kerja bukan pengakhiran, pakar saran belajar kemahiran baharu
Hilang kerja bukan pengakhiran, pakar saran belajar kemahiran baharu
Hilang kerja bukan pengakhiran, pakar saran belajar kemahiran baharu
Hilang kerja bukan pengakhiran, pakar saran belajar kemahiran baharu

SHAH ALAM, 22 MEI: Kehilangan pekerjaan akibat ketidaktentuan ekonomi tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran kehidupan, sebaliknya boleh menjadi titik permulaan untuk membina kemahiran baharu dan membuka peluang lebih baik pada masa depan.

Pakar Psikiatri KPJ Klang Specialist Hospital Dr Khoo Yee Liam berkata individu yang berdepan situasi itu perlu mengelakkan pemikiran negatif dan terus mencari ruang memperbaiki diri meskipun berdepan tekanan emosi serta kehilangan sumber pendapatan.

Pakar Psikiatri KPJ Klang Specialist Hospital, Dr Khoo Yee Laim ditemu bual dalam program BIcara Semasa di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 20 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Jangan berfikiran negatif atau rasa seperti dunia sudah berakhir. Hilang kerja bukan hilang hidup kita,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, tempoh tidak bekerja boleh dimanfaatkan untuk mempelajari kemahiran baharu atau memperkukuh kemahiran sedia ada bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

“Belajar benda baharu untuk persediaan masa depan. Peluang akan diberi jika kita bersedia untuk masa depan.

“Mungkin kita akan dapat peluang yang lebih baik jika ada kemahiran baharu, pengalaman baharu dan pelajaran baharu,” katanya.

Dr Khoo berkata individu yang mempunyai kemahiran tambahan juga cenderung lebih yakin untuk berdepan cabaran serta mencari peluang pekerjaan baharu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam serta mengelakkan tabiat tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan.

“Dengan badan yang sihat, fizikal dan mental yang sihat, seseorang itu akan lebih bersedia menghadapi cabaran pada hari akan datang.

“Mereka juga boleh cuba melakukan relaxation therapy termasuk senaman atau melakukan hobi yang membuat dia relaks seperti mendengar muzik,” katanya lagi.

Beliau turut menggalakkan individu yang terkesan supaya berkongsi masalah dengan ahli keluarga atau rakan rapat bagi mendapatkan sokongan emosi dan sosial.

Pada masa sama, Dr Khoo berkata mereka yang memerlukan bantuan profesional boleh mendapatkan khidmat kaunseling serta rawatan kesihatan mental secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Sekarang klinik kesihatan memang ada membuat saringan kesihatan mental. Mereka yang perlukan bantuan akan dirujuk kepada kaunselor atau psikiatri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.