SHAH ALAM, 21 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menganjurkan Program Hari Mantai sempena Aidiladha di Tapak Pasar Salak pada 25 dan 26 Mei ini, dari jam 6 pagi hingga 2 petang.
Timbalan Yang Dipertua MPSepang Mohd Faizal Abdul Raji berkata program itu bertujuan memudahkan masyarakat mendapatkan barangan keperluan Aidiladha seperti daging, ayam dan rempah-ratus.
“Program ini diadakan bagi memudahkan orang ramai membeli barangan keperluan untuk sambutan Aidiladha.
“Sebanyak 60 petak perniagaan disediakan sepanjang program berlangsung,” katanya ketika mesyuarat bulanan MPSepang hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Faizal berkata MPSepang turut merancang menjalinkan kerjasama dengan Platform Selangor (PLATS), yang kini sedang dalam penelitian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Menurutnya, kerjasama itu bertujuan melaksanakan pemberian kupon digital kepada pengunjung program.







