Tular gaduh berhampiran sekolah, lapan lelaki termasuk pelajar ditahan

21 Mei 2026, 4:51 AM
Tular gaduh berhampiran sekolah, lapan lelaki termasuk pelajar ditahan

SHAH ALAM, 21 MEI: Lapan lelaki termasuk pelajar tingkatan dua ditahan selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang Selatan, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 6.50 petang, 19 Mei lalu, sebelum video insiden berdurasi 26 saat itu tular di media sosial.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menangkap lapan lelaki tempatan berumur antara 14 hingga 24 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada tangkapan masih berstatus pelajar sekolah, manakala selebihnya tidak bersekolah.

"Punca dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham dan ejek-mengejek di antara dua kumpulan remaja berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jit Huey berkata insiden tersebut tidak membabitkan sebarang unsur kongsi gelap.

“Permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan proses siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk tampil menyalurkan terus ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.