PETALING JAYA, 20 MEI: Sebanyak 26 tren baharu bagi Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya dijangka mula beroperasi pada 2031 dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi selain mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail Sdn Bhd Nor Azmi Mohd Yusof berkata proses penggantian tren sedia ada telah dimulakan dengan tren pertama dijadual tiba pada 2029 sebelum keseluruhan penggantian disasarkan selesai menjelang akhir 2030.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu merupakan langkah jangka panjang bagi memastikan sistem pengangkutan awam lebih stabil, selamat dan berdaya tahan pada masa hadapan.
“Sebagai langkah jangka pendek sementara menunggu ketibaan 26 set tren baharu secara berfasa hingga akhir 2030, Rapid Rail kini mengguna pakai pendekatan Penyelenggaraan Berasaskan Keadaan (CBM).
“Melalui pendekatan proaktif ini, pemeriksaan dilakukan dengan lebih kerap dan mana-mana komponen yang menunjukkan tanda awal kerosakan akan diganti segera tanpa perlu menunggu jadual penukaran asal di dalam manual penyelenggaraan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai peningkatan jumlah pengguna, Nor Azmi berkata faktor muatan bagi Laluan Kelana Jaya telah mencecah 109 peratus pada April lepas.
Bagi mengatasi peningkatan pengguna sebanyak 11 peratus tahun ini, Rapid Rail mengambil langkah proaktif dengan menambah jumlah tren dalam operasi bagi memendekkan waktu menunggu pengguna.
"Kami hanya akan melepaskan tren untuk operasi selepas dipastikan benar-benar selamat digunakan. Dalam mengawal faktor muatan ini, kami turut melaksanakan pengurusan kawalan kesesakan secara berfasa bagi memastikan platform tidak terlalu padat sehingga membahayakan keselamatan pengguna," katanya.
Beliau berkata proses penstabilan sistem yang sedang dinaik taraf akan terus dipantau bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna dan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun berdasarkan tempoh liabiliti kecacatan projek berkenaan.
Sementara itu, Nor Azmi berkata peningkatan kecenderungan rakyat menggunakan pengangkutan awam susulan langkah penyelarasan subsidi petrol oleh kerajaan dilihat sebagai amanah besar yang perlu dipikul Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Rail.
“Ia menjadi satu amanah besar kepada kami untuk memastikan perkhidmatan rel di Lembah Klang terus beroperasi dengan baik dan lancar,” katanya.








