Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Sungai Langat

20 Mei 2026, 11:24 AM
Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Sungai Langat

SHAH ALAM, 20 MEI: Kegembiraan dua remaja mandi di Sungai Langat, Kampung Rantau Panjang Batu 14, Hulu Langat bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Muhamad Arif Asyraf Zaiful Anuar, 14, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.

Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati mangsa bersama seorang lagi rakannya pergi ke Sungai Langat untuk mandi kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Mereka mandi di kawasan air yang dalam dan mangsa hanyut ke kawasan (lebih) dalam sehingga lemas.

“Kawan mangsa kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

"Pasukan penyelamat yang menerima maklumat itu ke lokasi bersama jentera dan bot fiber untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi pencarian di permukaan air sebelum mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayat dibawa ke Hospital Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.