SHAH ALAM, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan kepada 225 individu dari daerah Petaling dan Klang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-80.
Majlis istiadat yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi mewakili Sultan Sharafuddin. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Seramai 43 individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) yang dikurniakan kepada seseorang yang telah berjasa atau melakukan perbuatan terbilang dan mempunyai pekerti terpuji di Selangor.
Selain itu, 35 individu menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) yang setaraf dengan Pingat Jasa Kebaktian. Pingat ini boleh dipertimbangkan untuk dikurniakan kepada pegawai Kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau telah berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan yang terpuji.
Seramai 134 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), yang boleh dikurniakan kepada seseorang yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada Selangor, tekun serta taat dalam menjalankan tugas, mempunyai kebolehan yang istimewa dan berpekerti mulia.
Selain itu, 13 individu menerima Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) yang boleh dikurniakan kepada kakitangan kerajaan yang sedang atau telah berkhidmat dengan rekod perkhidmatan dan kelakuan yang terpuji serta telah berkhidmat secara berterusan sekurang-kurangnya selama 20 tahun dengan Kerajaan Negeri Selangor.










