SEREMBAN, 20 MEI: Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, sejak September tahun lepas.
Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.
Bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal, guru kelas kepada remaja itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di bawah pokok di hadapan sebuah apartmen di sini, antara 12 hingga 20 Sept 2025 kira-kira 2.30 petang dan didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di sebuah rumah di sini pada 1.30 tengah hari, 7 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Wanita itu juga didakwa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di sebuah rumah di sini pada 1.30 tengah hari 7 April, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta 792 yang membawa hukuman serupa.
Bagi pertuduhan bukan fizikal, wanita itu turut didakwa menunjukkan gambar tidak senonoh kepada kanak-kanak itu melalui aplikasi WhatsApp antara 13 Sept hingga 10 April, di sebuah apartmen di sini.
Tertuduh juga pada tarikh dan lokasi sama didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa yang sama, dengan cara membuatkan mangsa itu menghantar gambar tidak senonoh melalui aplikasi WhatsApp.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Zaflee Pakwanteh merayu agar jumlah itu dikurangkan berikutan wanita itu mempunyai kekangan kewangan.
Hakim Siti Aishah Ab Rashid menetapkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan wanita itu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.








