Usahawan wanita sukar berkembang, pembiayaan mikro sahaja tidak cukup

20 Mei 2026, 2:05 AM
Usahawan wanita sukar berkembang, pembiayaan mikro sahaja tidak cukup

SHAH ALAM, 20 MEI: Pembiayaan mikro sahaja tidak mencukupi untuk membantu perniagaan wanita berkembang lebih besar kerana masih terdapat pelbagai halangan seperti akses pasaran yang terhad, jaringan perniagaan yang lemah dan tanggungjawab menjaga keluarga, menurut pakar industri.

Mereka berkata, sokongan ekosistem yang lebih kukuh diperlukan bagi membantu usahawan wanita mengembangkan perusahaan mikro kepada perniagaan yang lebih besar dan berdaya saing.

Ahli ekonomi Samirul Ariff Othman berkata ramai usahawan wanita masih tertumpu dalam perniagaan mikro dan kecil. Tanpa sokongan lebih kuat, mereka berisiko kekal di tahap sama walaupun sudah lama membuat pinjaman dan membayarnya dengan baik.

Beliau berkata antara cabaran utama ialah akses yang terhad kepada ekosistem perolehan, rangkaian eksport dan rantaian bekalan bernilai tinggi. Selain itu, tanggungjawab menjaga keluarga juga mengehadkan pergerakan wanita untuk menghadiri latihan, membina rangkaian atau mengurus operasi perniagaan yang lebih besar.

Menurut Samirul, jurang kemahiran digital juga masih wujud walaupun ramai wanita sudah menjalankan perniagaan secara dalam talian. Katanya, untuk berkembang secara digital, usahawan memerlukan kemahiran lebih maju seperti pemasaran berasaskan AI, analisis data, sistem inventori, pengoptimuman e-dagang dan pendigitalan kewangan.

Beliau turut berkata peningkatan kos logistik, inflasi import, gangguan rantaian bekalan dan permintaan pengguna yang lemah akibat konflik geopolitik dunia semakin memberi tekanan kepada perniagaan kecil yang mempunyai margin keuntungan rendah.

Katanya lagi, ramai wanita berniaga dalam sektor yang mudah diceburi seperti makanan dan minuman, peruncitan, jahitan, kecantikan dan perniagaan dalam talian. Sektor ini biasanya mempunyai keuntungan rendah, persaingan tinggi dan sukar berkembang pada skala besar.

“Dalam konteks ekonomi, ramai usahawan wanita lebih mengutamakan daya tahan perniagaan berbanding pengembangan skala besar. Walaupun mereka dikenali mempunyai rekod bayaran balik pinjaman yang baik, institusi kewangan masih melihat mereka sebagai peminjam berisiko rendah pertumbuhan kerana pemilikan cagaran tidak seimbang, aset perniagaan terhad dan dokumen kewangan formal sering tidak mencukupi untuk pembiayaan komersial lebih besar,” katanya kepada Media Selangor.

BERITA PENUH DI SINI

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.