Malaysia julang trofi pertama Piala Dunia acara kuadran

19 Mei 2026, 4:02 PM
Malaysia julang trofi pertama Piala Dunia acara kuadran

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Malaysia menjulang trofi sulung acara kuadran selepas ‘merejam’ India 2-0 pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi menerima tonik tambahan hasil sokongan luar biasa kira-kira 3,000 penonton yang membanjiri stadium yang digelar Home of Sepak Takraw itu.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun bermula goyah pada awal set pertama apabila melakukan beberapa kesilapan, termasuk servis Aidil Aiman yang memberi kelebihan kepada India untuk mendahului sehingga 4-0, namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 5-5.

Perlawanan semakin mendebarkan apabila pasukan pelawat terus melakukan beberapa rejaman kencang selain Malaysia turut membalas serangan sehingga mata terikat 15-15, sebelum kemenangan set pertama memihak kepada Malaysia 17-15.

Set kedua menyaksikan aksi penuh dramatik, namun skuad negara tampil lebih yakin dengan mendahului 10-7 untuk memberi tekanan kepada India yang diwakili Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh sebelum menang 15-10, sekali gus dinobatkan sebagai raja dunia acara kuadran pada kejuaraan berprestij itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.