SHAH ALAM, 19 MEI: Empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel ketika kapal mereka menghampiri perairan Gaza malam ini.
Mereka yang ditahan ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin yang menaiki kapal Alcyone selepas kapal mereka dipintas kira-kira jam 8.30 malam waktu Malaysia, lapor Buletin TV3.
Turut ditahan Syed Amirul yang berada di atas kapal Don Juan, serta Dr Noor Thanisah yang berada di atas kapal Zefiro.
Petang tadi, portal penjejakan rasmi Global Sumud Flotilla menunjukkan kapal Alcyone berada pada jarak 112.4 batu nautika dari pantai Gaza.
Kapal Don Juan pula berada 126 batu, manakala Zefiro berada 135.2 batu nautika dari pantai Gaza.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 kini dilaporkan telah ditahan.







