Imigresen tahan 16,681 warga asing setakat Mei

19 Mei 2026, 12:10 PM
Imigresen tahan 16,681 warga asing setakat Mei

PUTRAJAYA, 19 MEI: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 16,681 warga asing atas pelbagai kesalahan menerusi 4,785 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Mei.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata JIM melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan lebih agresif, dengan 69,406 individu telah diperiksa bagi tempoh berkenaan.

“Data ini menunjukkan JIM tidak sesekali berkompromi dengan isu penyalahgunaan, pelanggaran peraturan ataupun Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JIM 2025 yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini hari ini.

Zakaria berkata ketika ini, 20,575 tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Kekal manakala 1,470 tahanan berada di Depot Imigresen Sementara bagi menunggu proses dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata setakat 14 Mei, sebanyak 19,700 tahanan berjaya dihantar pulang ke negara asal dengan lima warganegara mencatat pemindahan tertinggi ialah Indonesia 7,936 orang, Myanmar (4,005), Bangladesh (2,453), Filipina (1,825) dan Thailand (1,008).

Zakaria ketika mengulas mengenai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) berkata program berkenaan mencatatkan pencapaian signifikan termasuk jumlah pendaftaran yang tinggi, penghantaran pulang secara sukarela yang konsisten dan kutipan kompaun yang memberangsangkan.

Bermula 19 Mei 2025 hingga 17 Mei lepas, PRM 2.0 telah merekodkan pendaftaran pendatang tanpa izin sebanyak 257,443 orang dari 112 negara terlibat dengan hasil kutipan bayaran kompaun RM128,726,940.

“Tiga negara yang mencatatkan pendaftaran tertinggi ialah Indonesia sebanyak 111,660 orang, diikuti Bangladesh (49,481) dan Myanmar (33,858),” katanya, sambil menambah PRM 2.0 menyumbang kepada pengurangan keberadaan pendatang tanpa izin di dalam negara.

Mengenai APC JIM 2025, Zakaria berkata sebanyak 1,212 anggota dan pegawai JIM dari seluruh negara dipilih sebagai penerima anugerah atas prestasi cemerlang sepanjang tahun lepas.

“(APC) kami berikan kepada pegawai-pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang. Kami harap perkara ini akan menyuntik semangat mereka untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang selaras dengan fungsi jabatan untuk memberi perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.