SHAH ALAM, 19 MEI: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) anak Sungai Damansara di sini dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini, maklum EXCO infrastruktur.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek bernilai RM8 juta yang bermula tiga tahun lalu berjalan lancar dan sudah mencapai kemajuan kira-kira 97 peratus.
“Projek ini berjalan lancar dan ini merupakan salah satu kejayaan kita setakat ini. Tahniah kepada kontraktor memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kita sasar RTB ini siap sepenuhnya dan beroperasi pada Julai ini. Kira-kira 97 peratus lagi tunggu bekalan elektrik dipasang kemudian ia boleh beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau projek RTB Anak Sungai Damansara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ir Izham berkata rumah pam dengan kapasiti 2,000 meter padu per saat disediakan di RTB tersebut selain turut memiliki kelebihan menarik sampah.
Beliau berkata pihaknya yakin inisiatif itu dapat mengurangkan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Taman Intan, di sini.
“Kita yakin siapnya projek RTB ini kejadian banjir kilat di sini dapat berkurangan sekali gus mengurangkan kebimbangan penduduk setempat,” katanya.








