15 individu ditahan selepas aksi bakar suar di Bukit Bintang

19 Mei 2026, 6:34 AM
15 individu ditahan selepas aksi bakar suar di Bukit Bintang

SHAH ALAM, 19 MEI: Tindakan sekumpulan individu melakukan aksi berbahaya dengan membakar suar di atas sebuah pacuan empat roda di sekitar Bukit Bintang mengundang padah apabila 15 individu ditahan polis kurang 24 jam selepas video kejadian tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Sazalee Adam berkata semua suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun ditahan menerusi beberapa serbuan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di kediaman suspek di sekitar Batu Caves, Kajang, Shah Alam dan Dengkil susulan siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Siasatan awal mendapati aksi berbahaya itu dilakukan bagi mempromosikan kedai pakaian milik seorang daripada suspek yang kini memasuki tahun keenam operasi.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada pemilik kedai berusia 24 tahun, pekerjanya dan lapan individu yang diupah untuk melakukan aksi promosi jualan pakaian mereka,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata individu yang diupah terbabit menerima bayaran antara RM50 hingga RM700 bagi menjayakan aksi berkenaan.

Sazalee berkata wanita berusia 24 tahun yang turut ditahan bertindak sebagai penyelaras ketika sesi penggambaran dilakukan di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis turut merampas motosikal jenis scrambler yang digunakan dan mendapati kenderaan itu diimport dari luar negara serta tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan jalan raya.

“Motosikal scrambler yang dirampas itu didapati hanya untuk kegunaan off-road, manakala kenderaan pacuan empat roda terbabit disewa oleh pemilik kedai dan dimiliki salah seorang suspek yang ditahan,” katanya.

Beliau berkata semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, pemilik motosikal terbabit turut akan dikenakan saman dan individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda RM10,000.

Semalam media melaporkan polis memburu sekumpulan individu selepas video memaparkan aksi membakar suar di atas sebuah Ford Ranger Raptor bersama dua motosikal scrambler di tengah jalan sekitar Bukit Bintang tular di media sosial.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.