Babi hutan resahkan penduduk Bukit Indah, berkeliaran hingga masuk masjid

20 Mei 2026, 2:00 AM
Babi hutan resahkan penduduk Bukit Indah, berkeliaran hingga masuk masjid

AMPANG JAYA, 20 MEI: Kehadiran seekor babi hutan yang dipercayai berkeliaran sejak beberapa lalu kini semakin meresahkan penduduk di sekitar Bukit Indah, di sini apabila haiwan liar itu didakwa turut memasuki kawasan masjid, sekolah dan taman perumahan.

Haiwan berkenaan dikatakan sering berkeliaran pada awal pagi dari Bukit Indah ke Ampang Indah serta Taman Kosas sekali gus mengancam keselamatan jemaah yang menunaikan solat Subuh dan kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah.

Menurut penduduk, babi hutan itu juga pernah memasuki pekarangan masjid sebelum menyelongkar tong sampah selain merosakkan landskap di rumah ibadah berkenaan.

Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Syamsudin Suriansah berkata isu gangguan haiwan liar itu bukan perkara baharu kerana pelbagai usaha telah dijalankan bagi menangkapnya.

Katanya, operasi MPAJ turut dilakukan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta penduduk setempat namun ia tidak membuahkan hasil.

“Perangkap sudah dipasang di beberapa lokasi termasuk kawasan hutan berhampiran taman perumahan.

“Sebelum ini beberapa ekor babi berjaya masuk perangkap namun ia bukan babi yang sering berkeliaran itu,” katanya.

Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Syamsudin Suriansah Syamsudin (dua, kanan) bersama penduduk menunjukkan perangkap babi yang dipasang berhampiran Apartmen Seri Baiduri, Bukit Indah, Ampang Jaya ketika tinjauan Media Selangor ke lokasi berkenaan pada 5 Mei 2026. Foto MUHAMMAD AFZAINIZAN/MEDIA SELANGOR

Difahamkan, MPAJ sudah memasang tiga perangkap di lokasi panas yang dikenal pasti menjadi laluan utama haiwan berkenaan.

Penduduk berharap tindakan lebih agresif dapat diambil pihak berkuasa supaya masalah yang berlarutan sekian lama itu dapat diselesaikan demi keselamatan dan ketenteraman komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.