KUALA LUMPUR, 28 Mei - Tatkala kebanyakan warga kota menikmati malam Jumaat bersama keluarga, sekumpulan bekas pegawai perubatan tentera pula memilih untuk turun ke jalanan ibu kota demi membantu mereka yang hidup serba kekurangan.
Di celah lorong sekitar Jalan Silang dan Chow Kit, mereka membawa ubat-ubatan, alat pemeriksaan asas dengan satu misi yang masih kekal sama seperti ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
Walaupun tidak lagi menyarung pakaian seragam tentera, semangat mereka tidak pernah padam.
Lebih sedekad dalam perkhidmatan ketenteraan, enam bekas pegawai perubatan tentera kini berganding bahu menerusi inisiatif Dr Jalanan.
Ia merupakan sebuah program yang menawarkan rawatan, konsultasi dan bantuan perubatan secara percuma kepada golongan gelandangan, B40 dan miskin bandar di ibu kota.
Penyelaras pasukan, Mejar Dr Alifarhan Alimudin (B), 35, berkata, penubuhan Dr Jalanan pada Ogos 2025 lahir daripada nilai kemanusiaan yang diterapkan sepanjang mereka berkhidmat dalam ATM.
Menurutnya, sepanjang bertugas mereka sering terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan seperti Program Jiwa Murni dan Civil-Military Cooperation (CIMIC), termasuk memberi rawatan di kawasan pedalaman serta penempatan Orang Asli.
“Apabila tamat perkhidmatan, kami rasa usaha membantu masyarakat ini tidak sepatutnya terhenti begitu sahaja.
“Sebagai pegawai perubatan tentera, kami dididik untuk sentiasa membantu mereka yang memerlukan, selagi termampu. Nilai itu yang kami bawa ke dalam Dr Jalanan,” kata pemuda asal Tawau, Sabah itu kepada Media Selangor.

Di bawah Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) dengan kerjasama Food For Gelandangan (FFG), pasukan itu bukan sahaja merawat demam dan luka, tetapi membantu pesakit yang menghidap kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetes.
Setiap minggu, pasukan ini mendekati mereka yang tidur di kaki lima, bawah jambatan atau lorong sempit bandar raya untuk membersihkan luka.
Pesakit yang rata-rata gelandangan juga menjalani pemeriksaan tekanan darah dan diberikan ubat asas.
Selain rondaan, pasukan tersebut turut membuka kaunter kecil di Lorong Haji Taib.
“Objektif utama kami adalah memastikan golongan kurang bernasib baik ini tidak tercicir daripada menerima akses rawatan kesihatan.
“Walaupun mereka hidup di jalanan, mereka tetap berhak mendapat rawatan yang sewajarnya,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 7,862 gelandangan di seluruh negara bagi tempoh antara tahun 2021 hingga Mei 2025, dengan Kuala Lumpur menyumbang jumlah tertinggi.
Kira-kira 90% daripada populasi gelandangan di Malaysia adalah warganegara tempatan, manakala baki 10% adalah warga asing.
Dalam masa sama, Dr Alifarhan berharap Dr Jalanan dapat berkembang lebih jauh dengan penyertaan lebih ramai doktor sukarelawan.
Beliau juga mengimpikan pasukan tersebut memiliki sebuah klinik bergerak sendiri untuk keselesaan pesakit.
“Bukan sahaja warga kota di Kuala Lumpur, tetapi mungkin juga masyarakat di kawasan pedalaman yang memerlukan akses rawatan,” katanya.
Bagi Dr Jalanan, setiap langkah di lorong-lorong ibu kota bukan sekadar misi perubatan tetapi satu usaha memulihkan maruah manusia, satu nyawa pada satu masa.











