Ladang babi Tanjong Sepat tutup sepenuhnya Julai ini

19 Mei 2026, 4:16 AM
Ladang babi Tanjong Sepat tutup sepenuhnya Julai ini

SHAH ALAM, 19 MEI: Ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dijangka ditutup sepenuhnya mulai Julai ini selepas Kerajaan Negeri memberi tempoh enam bulan kepada penternak menyelesaikan urusan berkaitan operasi masing-masing sehingga Jun.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah berkata kelonggaran itu diberikan bagi membolehkan penternak menguruskan ternakan termasuk anak babi yang masih belum boleh dipindahkan atau dijual.

“Kita sudah beri peluang selama enam bulan kerana mereka memaklumkan masih ada urusan perlu diselesaikan. Selepas tamat tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sebahagian premis ladang terbabit kini sudah ditutup dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi arahan.

Bermula 1 Julai, semua penternak perlu selesaikan operasi masing-masing termasuk penjualan ternakan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang ingkar.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan ladang babi di negeri ini ditutup serta tidak membenarkan pembukaan ladang baharu termasuk di lokasi dicadangkan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Baginda turut menegaskan pendirian sama dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15.

Sultan Sharafuddin kemudian menegaskan sekali lagi supaya tiada lagi ladang babi di Selangor dan isu tersebut perlu dihentikan menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Baginda, Dato' Mohamad Munir Bani.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.