Remaja tak bayar tambang e-panggilan didakwa cederakan pemandu wanita

19 Mei 2026, 2:11 AM
Remaja tak bayar tambang e-panggilan didakwa cederakan pemandu wanita
Remaja tak bayar tambang e-panggilan didakwa cederakan pemandu wanita

SHAH ALAM, 19 MEI: Tindakan sekumpulan remaja yang dipercayai enggan membayar tambang e-panggilan membawa padah apabila mereka didakwa mencederakan seorang pemandu wanita dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah awal bulan ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam 4 Mei lalu, mangsa berusia 41 tahun mengalami lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan selain kesan jerutan di leher selepas diserang kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, sebelum kejadian mangsa menerima tempahan menerusi aplikasi Grab untuk mengambil empat penumpang di kawasan Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke Pekan Kuala Sungai Baru.

Menurutnya, kumpulan berkenaan terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.

“Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu menunggu seseorang memasukkan wang ke akaunnya secara dalam talian.

“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga sebelum bertindak merakam keadaan menggunakan telefon bimbit sebelum kesemua suspek masuk semula ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, suasana bertukar cemas apabila tiga daripada suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan objek keras selain menjerut leher wanita itu menggunakan kain dari belakang tempat duduk pemandu.

Menurut Ahmad, seorang suspek lelaki berusia 15 tahun bagaimanapun tidak masuk semula ke dalam kereta kerana melarikan diri ketika kejadian.

Katanya, mangsa turut diugut supaya tidak melawan atau meminta bantuan, namun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada hidung, leher serta kedua-dua tangan akibat pergelutan.

“Kesemua empat suspek telah ditahan dan direman sehingga esok sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.