Tentera darat tambah baik syarat pengambilan, had umur 30 tahun, tinggi 157 sm

18 Mei 2026, 9:37 AM
Tentera darat tambah baik syarat pengambilan, had umur 30 tahun, tinggi 157 sm
Tentera darat tambah baik syarat pengambilan, had umur 30 tahun, tinggi 157 sm

SHAH ALAM, 18 MEI: Tentera darat menambah baik syarat pengambilan anggota baharu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, termasuk menaikkan had umur kelayakan kepada 30 tahun berbanding 27 tahun sebelum ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata tahap ketinggian juga disemak semula kepada 157 sentimeter (sm) berbanding 162 sm sebelum ini.

Jelas beliau, syarat baharu itu dijangka meningkatkan penyertaan calon sekitar 10 hingga 20 peratus setiap sesi pemilihan bagi menjalani latihan Perajurit Muda, lapor Berita Harian.

“Syarat Indeks Jisim Badan (BMI) untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara umumnya ditetapkan antara 18 hingga 27.9 bergantung kepada cabang perkhidmatan dan jenis pengambilan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, hari ini.

Azhan berkata tentera darat tidak mengurangkan kualiti anggota tetapi mengambil kira tahap kepakaran atau kebolehan anggota, termasuk dibenarkan mereka yang memakai kaca mata.

"Walaupun syarat kemasukan anggota perajurit muda ini dilonggarkan, tetapi ia mengambil kira penambahbaikan dari segi kebolehan bidang teknikal.

“Langkah ini bertujuan untuk membuka peluang yang lebih luas kepada rakyat Malaysia yang berpotensi dan berkelayakan untuk menyertai perkhidmatan tentera darat.

"Tentera darat turut mementingkan elemen latihan yang menekankan pembinaan jati diri ketenteraan, ketahanan fizikal dan mental serta pemupukan nilai disiplin, keyakinan diri dan kompetensi sebagai seorang anggota tentera profesional," ujarnya.

Azhan berkata, untuk pengambilan siri kali ini, seramai 1,236 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan.

Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, disandang Perajurit Muda Muhammad Khairul Faris Latif, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur. Beliau akan diserapkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Perajurit Muda Veiter Mark Pindah, 23, dari Kota Kinabalu, Sabah dipilih sebagai Perajurit Muda Lelaki Ketenteraan Terbaik. Anak ketiga daripada empat beradik ini berkelulusan Diploma Undang-Undang dan diserapkan ke Kor Polis Tentera Diraja (KPTD).

Bagi Kategori Kawad Terbaik disandang Perajurit Muda Muhammad Sufi Salim, 22, yang berasal daripada Kuala Terengganu. Anak bongsu dari enam beradik ini memperoleh keputusan terbaik secara keseluruhan dalam Ujian Kawad Kaki dan Senjata dan akan diserapkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Bagi Kategori Akademik Terbaik disandang Perajurit Muda Augustine Dris Anak Jabat, 23, yang berasal dari Debak, Sarawak. Anak sulung dari tiga beradik ini berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan diserapkan ke Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Perajurit Muda Muhammad Adam Harris Rusli, 19, yang berasal dari Kuantan, Pahang pula menyandang kategori Jasmani Terbaik berdasarkan keputusan ujian jasmani. Anak bongsu dari tiga beradik ini akan diserapkan ke Kor Risik Diraja (KRD).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.