Keluarga mangsa dirempuh pemandu mabuk, lawan arus tuntut keadilan

18 Mei 2026, 9:25 AM
Keluarga mangsa dirempuh pemandu mabuk, lawan arus tuntut keadilan

KLANG, 18 MEI: Keluarga kepada penunggang motosikal yang cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkhohol serta melawan arus dalam kejadian di Persiaran Kota di sini minggu lepas, menuntut keadilan sewajarnya untuk mangsa.

Hamidah Othman, 54, berkata anak sulungnya Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, kini ditidurkan selepas mengalami pendarahan di bahagian otak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat kemalangan itu.

Beliau berkata anaknya yang bekerja sebagai penasihat perkhidmatan sebuah syarikat automotif turut mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk patah tangan, kaki kanan, betis, tulang belikat serta tiga jari.

“Saya berharap kes ini memberi keadilan buat anak saya dan mangsa lain. Saya tidak mahu orang lain menerima nasib sama akibat pemandu mabuk.

“Dia anak yang banyak membantu keluarga. Saya sedih melihat keadaan dia sekarang sedangkan dia berada di laluan yang betul ketika kejadian,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di pekarangan Mahkamah Klang di sini, hari ini.

Hamidah berkata anaknya bekerja sebagai penghantar p-hailing sambilan untuk mencari pendapatan tambahan berikutan akan melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun ini di Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, tunang mangsa Nurul Syafiqah Ridzuan, 25, berkata persiapan bagi majlis pernikahan mereka telah dilakukan sejak mengikat tali pertunangan tahun lepas.

“Sewaktu kejadian, saya terdetik mahu menghubunginya namun terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada keluarga tunang memaklumkan tentang kemalangan itu.

"Keadaan Zulfiqar masih parah di hospital dan kami turut mengharapkan doa orang ramai bagi kesembuhannya," katanya.

Terdahulu, seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penghantar p-hailing, minggu lepas.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu sebuah kenderaan dengan kadar alkohol 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

Jumlah itu melebihi had 146 mg alkohol dalam 100 ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Zulfiqar Zamir di Persiaran Kota di sini pada 12.35 tengah malam, 13 Mei lepas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.