SERDANG, 18 MEI: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 Sept ini, menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion menerusi pelbagai inisiatif serta pameran berasaskan pemodenan teknologi pertanian tempatan dan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MAHA 2026 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung dengan penglibatan 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.

“Kami sasar nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM55 juta dan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion melalui pemeteraian memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian.
“Ia termasuk penglibatan 800,000 belia dan pelbagai aktiviti program yang dianjurkan sempena MAHA 2026,” katanya ketika berucap pada Program Hi-Tea “Pitch and Connect @ MAHA2026” di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendapat keizinan Jemaah Menteri untuk terus menganjurkan MAHA 2026 bagi mendedahkan rakyat tentang aspek teknologi baharu dalam bidang pertanian.
“Kita tahu sekarang ini krisis global dalam hal tenaga dan walau bagaimanapun, kerajaan terus memberi keizinan untuk MAHA 2026 diteruskan kerana ia amat penting, terutamanya tajuk tahun ini ke arah pemodenan.
“Ertinya, kami harap rakyat Malaysia datang, terutama yang terlibat dalam pertanian ini. Mereka dapat melihat maklumat teknologi-teknologi baharu yang digunakan dalam bidang pertanian ini seperti yang digunakan oleh negara-negara maju dalam pertanian, iaitu China, Taiwan, Belanda dan lain-lain,” katanya.
Pada sidang media berasingan, Mohamad berkata pihaknya menyasarkan untuk memperoleh penajaan sekitar RM10 juta hingga RM15 juta bagi penganjuran MAHA 2026.
“Tema tahun ini kami nak menumpukan ke arah pemodenan supaya generasi muda akan lebih terlibat dan minat dalam pertanian ini. Kami harap dalam keadaan kita tahu soal krisis tenaga yang sedang berlaku sekarang, kami harap tidak kurang pengunjung yang akan datang kerana ia antara pameran rakyat yang diadakan dua tahun sekali,” katanya.
Pada majlis hari ini, hampir 100 wakil syarikat dan penaja berpotensi hadir ke “Pitch and Connect @ MAHA2026” dan diberikan penerangan terperinci mengenai pakej penajaan yang ditawarkan.
Melalui sesi berkenaan, para penaja turut diberi penerangan mengenai pelbagai insentif dan manfaat yang akan diperoleh melalui penyertaan dan penajaan mereka dalam MAHA 2026.
MAHA 2026 mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.








