Polis tumpaskan empat sindiket edar ganja, syabu bernilai RM17.8 juta

18 Mei 2026, 5:48 AM
Polis tumpaskan empat sindiket edar ganja, syabu bernilai RM17.8 juta

SHAH ALAM, 18 MEI: Polis menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah jenis bunga ganja dan syabu seberat 251.8 kilogram (kg) bernilai RM17.8 juta, hasil operasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata menerusi operasi dilakukan pada 6, 9 dan 10 Mei lepas itu, polis menahan enam warga asing termasuk tiga wanita selepas mengesan bagasi yang mencurigakan semasa melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata kesemua suspek yang dipercayai merupakan sindiket berasingan membawa 254 bungkus bunga ganja seberat 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi.

“Keenam-enam suspek terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita warganegara asing, berusia antara 17 hingga 31 tahun itu ditahan sekitar Terminal KLIA dan dipercayai memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Mereka dipercayai menerima upah sekitar EU3,000 hingga EU5,000 untuk membawa bahan terlarang itu. Saringan air kencing turut mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis THC,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Selain itu, Shazeli berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dipercayai berperanan sebagai transporter dadah di hadapan sebuah premis di Ampang Jaya, pada 11 Mei lepas.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek menemukan 79 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta.

“Orang awam diingatkan agar tidak terlibat sebagai ‘keldai dadah’ dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya.

Kesemua suspek sedang direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.