SHAH ALAM, 18 MEI: Mahkamah Sesyen menetapkan 20 Julai ini bagi memutuskan sama ada Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dibebaskan atau disabitkan tuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan pembelaan dan hujahan balas pendakwaan pada prosiding hari ini.
Bekas pelakon berusia 48 tahun itu akan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan jika mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Namun, jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Pada prosiding hari ini, hujahan pembelaan dikendalikan peguam M Athimulan, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry.
Selepas mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak, mahkamah turut mengarahkan hujahan tambahan difailkan berhubung isu konspirasi sebelum keputusan akhir pembelaan dibuat pada 20 Julai nanti.
Pada 5 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil dua saksi termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memberi keterangan membela diri bermula 2 September 2025.







