SHAH ALAM, 17 MEI: Umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jaladudin, sebentar tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1447 Hijrah ialah pada 18 Mei 2026 Masihi.
“Oleh yang demikian Hari Raya Korban, 10 Zulhijah bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 27 Mei 2026 Masihi,” katanya menerusi siaran langsung.
Sebelum ini, tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Ahad, 17 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1447 Hijrah, di 29 lokasi di seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan memaklumkan penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari sama melalui siaran radio serta televisyen.








