Wanita warga asing cuba ceroboh pintu pelepasan KLIA tanpa tiket

17 Mei 2026, 8:00 AM
Wanita warga asing cuba ceroboh pintu pelepasan KLIA tanpa tiket

SHAH ALAM, 17 MEI: Polis menahan seorang wanita warga asing selepas dipercayai menceroboh kawasan keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner M. Ravi berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 petang apabila wanita terbabit melalui pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki tiket penerbangan.

Menurutnya, suspek turut bertindak agresif ketika petugas keselamatan menjalankan pemeriksaan di pintu pelepasan antarabangsa C, Terminal 1 KLIA.

“Suspek berjaya ditangkap pihak polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA kira-kira jam 1.45 petang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan.

Hasil siasatan mendapati suspek merupakan warga China yang memasuki negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya.

Beliau berkata wanita terbabit dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan reman bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kesusahan di tempat awam khususnya di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.