JOHOR BAHRU, 16 MEI: Siri jelajah Jerayawara Siswa Kita Selangor ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara terus menjadi platform Kerajaan Negeri mendekati mahasiswa serta berkongsi pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar berkata program yang dilaksanakan sejak 2024 itu turut membuka ruang kepada mahasiswa kelahiran Selangor memahami perancangan serta usaha pentadbiran negeri dalam menjaga kebajikan rakyat dan pembangunan masa depan negeri.

“Saya juga ingin berhubung dan berkomunikasi dengan mahasiswa, menyampaikan maklumat-maklumat baharu berkenaan negeri serta rancangan masa depan.
“Mereka teruja dengan apa yang kita sampaikan dan insya-Allah program ini akan diteruskan dari masa ke semasa supaya dapat mengetahui perkembangan negeri dan harapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Program yang menjadi siri jelajah pertama tahun ini menghimpunkan kira-kira 400 pelajar Selangor dari UTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dalam program itu, Amirudin turut menyampaikan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) berserta data internet percuma serta Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada pelajar yang layak selain melancarkan Majlis Mahasiswa Selangor (MASEL) UTM.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor, Hidayat Mohd Sauffi berkata program berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada mahasiswa sejak diperkenalkan.

Katanya, siri jelajah itu akan diteruskan ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka bulan depan sebelum diperluaskan ke IPTA sekitar Pantai Timur.
“Selepas enam penganjuran sebelum ini, kita lihat sambutan sangat menggalakkan malah pelajar turut terima manfaat dengan inisiatif dihebahkan,” katanya.







