Mari Bermain Permainan 'Jika'

17 Mei 2026, 12:30 AM
Mari Bermain Permainan 'Jika'

Oleh Fitri A. Bakar

Ilustrasi Muizzah

Seronok apabila kita bermain permainan 'jika'

aku, kau, dan sesiapa boleh menjadi apa-apa

aku boleh menjadi batu, kau pula menjadi kayu

aku boleh menjadi api, kau pula menjadi air.

betapa 'jika' tidak membuktikan apa-apa

selain khayalan dari pundak ketakutan

sekadar alasan dari puncak ketamakan.

Jika dia punya pisau,

maka terbukti, dia akan jadi pembunuh nusa.

jika dia punya magis,

maka terbukti, dia ada sihir melenyapkan nyawa.

jika dia punya emas

maka terbukti, dia akan membeli teroris dunia.

oh, begitu mudah bermain permainan 'jika' -

kutahu ia hanyalah satu, dari puluhan kad

yang bersusun dalam dek muslihat

abad demi abad.

Permainan ini takkan berakhir

selagi pemain terlalu menggilai kemenangan

tanpa segan-silu melanggar peraturan.

sebagai pemain di pentas dunia,

bukankah lidah tindakan wajar

hanya boleh dijulurkan

dari bibir kenyataan yang benar?

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.