Dari dapur kecil kediaman wanita bergelar asnaf, terhasilnya puluhan ribu roti setiap bulan. Bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, malah membuka peluang rezeki kepada orang lain.
Di situlah Norlelawati Bahari, 45, pengasas Roti Cik Gebu Ella Sunshine Bakery mengembangkan perniagaannya selepas bangkit daripada kesusahan hidup.
Sekitar 2021, anak jati Shah Alam ini mula serius dalam pembuatan roti. Bukan tidak pernah mencuba perniagaan lain, tetapi beliau menemukan minat sebenar dalam perusahaan itu.
Ketika itu, wanita yang pernah bergelar ibu tunggal ini terpaksa bergantung kepada bantuan sebagai asnaf untuk meneruskan kehidupan bersama satu-satunya anak perempuan beliau.
Titik perubahan hadir apabila beliau menyertai kursus dan bimbingan usahawan asnaf di bawah Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).
Tiada modal pada pemulaan, seorang rakan mencadangkan beliau memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor. Bermula dengan mesin pengadun, beliau kini membina perniagaan dari rumah.
Selebihnya peralatan seperti ketuhar industri dan kelengkapan lain dan diusahakan sendiri dengan bantuan ibu serta hasil jualan kecil.
“Memang saya susah, dengan gaji RM700 sebulan ketika itu, seorang diri menanggung anak. Sebut apa saja peniagaan saya tidak cuba, MLM pun pernah sebab saya tekad, tak nak kesusahan itu diwarisi kepada anak saya.
“Ada kawan cadangkan untuk daftar asnaf. Ketika itu saya memang tak pernah dengar bantuan-bantuan ini semua, tapi itulah permulaannya kejayaan saya dalam bidang pembuatan roti,” katanya kepada Media Selangor.
Namun perjalanan itu bukan mudah. Norlelawati mengakui cabaran terbesar bukan sahaja kekurangan modal, tetapi juga tekanan daripada persekitaran sekeliling.
“Cabaran saya adalah modal dan juga keluarga. Bukan saya kata keluarga saya tak baik, tapi sokongan itu kurang. Hanya mak saya sahaja yang sentiasa ada dengan saya.
“Bila saya keluar hantar roti sampai lewat, orang mula bercakap. Sebagai ibu tunggal, tanggapan negatif itu memang ada dan saya terpaksa hadap semua itu seorang diri,” katanya mengakui keadaan itu pernah membuatkan dirinya hampir goyah, namun beliau memilih untuk terus kuat demi mengubah nasib hidup.
Perniagaannya perlahan-lahan membina aliran tunai yang stabil. Malah, kira-kira dua tahun serius dalam perniagaan roti, beliau mula menggajikan anak-anak asnaf bagi membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
Bergelar asnaf hanya sekitar dua tahun setengah, antara peserta yang paling singkat, wanita itu nekad keluar daripada kategori berkenaan demi memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.
“Saya pegang satu, sampai bila saya nak dibantu? Saya tak malu jadi asnaf, tapi saya tak nak duduk lama. Bila kita mampu, kita kena keluar. Kalau tidak, kita ambil hak orang lain.
“Saya yakin kalau kita usaha bersungguh-sungguh, bantuan itu hanya batu loncatan, bukan tempat bergantung selamanya,” katanya.
Kini, perniagaannya di Kampung Lombong, Shah Alam berkembang dengan pembekalan pelbagai jenis roti ke kantin sekolah, masjid dan agensi kerajaan.
Lebih membanggakan, beliau kini membimbing kira-kira 15 usahawan di bawah rangkaiannya, malah ada di antara mereka mampu menjana RM2,000 hingga RM7,000 sebulan.
“Kita bukan nak berjaya seorang. Bila kita kongsi rezeki, kita buka peluang kepada orang lain. Itu yang saya pegang. Bila orang di bawah kita berjaya, itu sebenarnya kejayaan paling besar bagi saya,” katanya lagi.
Selain itu, Norlelawati aktif berkongsi ilmu keusahawanan dan pembuatan roti melalui kelas dan program latihan di seluruh negara termasuk di bawah TERAS. Beliau menasihatkan usahawan asnaf yang ingin berjaya supaya rajin mengikuti pelbagai kelas.
“Bila kursus percuma pun tak nak pergi, itu yang sedih. Di luar sana orang bayar mahal untuk ilmu. Jadi gunakan peluang itu sebaik mungkin. Ilmu itu percuma pun ramai tak ambil, sedangkan itulah yang boleh ubah hidup,” katanya.
Kejayaannya mengembangkan perniagaan melayak Norlelawati menerima bantuan kenderaan daripada TERAS yang digunakam hingga kini sebagai kenderaan rasmi untuk menghantar bekalan roti kepada pelanggan.
Selain mengembangkan dan meningkatkan pendapatan, beliau berpegang kepada prinsip syukur dan berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang.
“Bila kita buka pintu rezeki orang lain, Allah buka lebih luas untuk kita. Semakin kita memberi, semakin banyak kita akan terima, itu yang saya alami sendiri,” katanya.










