Selangor teliti cadangan naik elaun guru KAFA kepada RM1,700

16 Mei 2026, 8:00 AM
Selangor teliti cadangan naik elaun guru KAFA kepada RM1,700

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebagai usaha memastikan kebajikan warga pendidik agama terus diperkasa.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kertas cadangan berhubung perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bulan ini sebelum dimuktamadkan.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap dan merasmikan Majlis Program Liqa' Mahabbah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Kajian sedang dibuat. Insya-Allah, sekiranya tidak dapat dilaksanakan tahun ini, kita akan masukkan dalam Belanjawan Selangor akan datang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Usaha ini dibuat supaya guru KAFA memperoleh gaji minimum selaras dengan kadar gaji minimum di Selangor. Jadi, perlunya ada komunikasi ke bawah dan usaha-usaha Kerajaan Negeri yang akan kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Liqa’ Mahabbah Guru KAFA daerah Petaling di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad bergambar bersama guru KAFA di Majlis Perasmian Program Liqa' Mahabbah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu, kira-kira 1,500 guru KAFA daerah Petaling hadir bagi mendengar serta menghayati amanat dan hala tuju pendidikan awal agama Islam selain mengukuhkan hubungan silaturahim.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata program Liqa’ Mahabbah akan diperluaskan ke daerah lain bagi mendekati guru KAFA serta memahami isu dan cabaran yang mereka hadapi.

Pada majlis sama, turut dilancarkan tanda nama baharu sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semula guru KAFA di negeri ini.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menandatangani plat sebagai simbolik perasmian Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daerah Petaling di Majlis Perasmian Program Liqa' Mahabbah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Guru KAFA tidak boleh dilihat asing daripada Kerajaan Negeri. Mereka adalah sebahagian daripada kita, jadi kita memberikan satu penjenamaan semula dengan membekalkan tanda nama baharu yang mempunyai logo sama.

“Semoga dengan inisiatif ini mereka akan rasa lebih bersama dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan misi dan agenda membangunkan anak-anak berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.