Malaysia perketat import ikan siakap, sekat lima spesies udang Thailand

16 Mei 2026, 5:46 AM
Malaysia perketat import ikan siakap, sekat lima spesies udang Thailand
Malaysia perketat import ikan siakap, sekat lima spesies udang Thailand
Malaysia perketat import ikan siakap, sekat lima spesies udang Thailand

PUTRAJAYA, 16 MEI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun ini.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekatan sementara itu membabitkan spesies udang Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.

"Tempoh sekatan bagi udang adalah sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap terhadap soal selidik yang dikemukakan oleh Malaysia, serta tertakluk kepada penelitian lanjut pihak Malaysia terhadap maklum balas tersebut," menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan langkah itu dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti ditetapkan.

Menurut KPKM, pelaksanaan kawalan import itu akan dibuat secara bersepadu menerusi kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (PKKM KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.

“Kerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan kawalan import berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara,” menurut kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.