Krisis Asia Barat: Rakyat mula berjimat, sesuaikan gaya hidup

17 Mei 2026, 3:00 AM
Krisis Asia Barat: Rakyat mula berjimat, sesuaikan gaya hidup

SHAH ALAM, 17 MEI: Ketidaktentuan ekonomi akibat krisis Asia Barat serta tekanan kos sara hidup menyaksikan peralihan budaya berbelanja dalam kalangan masyarakat di Lembah Klang.

Tinjauan Media Selangor mendapati rata-rata penduduk kini lebih berwaspada dan mengamalkan gaya hidup sederhana dengan mengutamakan keperluan asas berbanding kehendak peribadi.

Bagi salah seorang warga kota Amirah Zahidi, 35, berkata meskipun beliau tidak begitu terjejas namun beliau tetap mengambil langkah berhati-hati dengan berbelanja ikut kemampuan.

Wanita yang bekerja sendiri ini juga mengakui krisis ekonomi lebih dirasai oleh golongan berkeluarga.

“Kalau nak belanja, jangan ikut orang lain kita kena ikut kemampuan dan bajet yang ada,”

“Saya belum ada anak jadi perbelanjaan masih sama macam sebelum ini, tetapi tetap berharap krisis ini tidak berlarutan," katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Amirah Zahidi, 35, memilih untuk berjimat dan mengutamakan keperluan asas kerana krisis Asia Barat yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi. Foto FAIZ /MEDIA SELANGOR

Penjawat awam Zailie Rani, 27, pula bimbang kos bulanan kini semakin membebankan terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Dulu isi minyak motosikal RM5 pun cukup, sekarang kena tambah lagi. Dengan gaji bawah RM3,000 memang kena banyak berjimat,” katanya.

Beliau turut bersetuju masyarakat perlu mempunyai kesedaran mengurus kewangan dengan lebih baik dan tidak terlalu mengikut trend semasa.

“Kita tengok orang masih boleh shopping dan pergi tempat viral, tetapi sebenarnya kena lebih berjimat untuk jangka panjang,” katanya.

Anis Najwa Mat Zen, 40, yang bekerja sebagai jurutera mengambil pendekatan mengurangkan aktiviti luar untuk berjimat. Foto FAIZ /MEDIA SELANGOR

Manakala bagi jurutera, Anis Najwa Mat Zen, 40, mengambil pendekatan mengurangkan aktiviti luar untuk berjimat.

“Kita kena ada simpanan dan belajar berjimat sebab keadaan ekonomi sekarang tidak menentu,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, kerajaan dilaporkan sedang meneliti kemungkinan mengurangkan subsidi bahan api untuk golongan berpendapatan tinggi seawal bulan depan susulan peningkatan kos akibat ketidaktentuan harga minyak global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat kepada kumpulan sasaran, lapor Astro Awani.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.