SHAH ALAM, 18 MEI: Peniaga sekitar Shah Alam optimis pengoperasian Laluan Rel Transit Ringan Shah Alam (LRT3) bakal membuka peluang baharu kepada perniagaan mereka dengan kehadiran lebih ramai pelanggan, khususnya dari luar bandar raya ini.
Mereka percaya kemudahan pengangkutan awam itu bukan sahaja memudahkan pergerakan orang ramai, malah mampu menghidupkan semula kawasan komersial berhampiran stesen selain mengurangkan masalah kesesakan dan parkir yang sering dihadapi pelanggan.
Pemilik Azuwaa Bridal Boutique and Wedding Planner di Seksyen 7, Nurul Fadilah, 24, berkata operasi LRT3 dijangka memberi kesan positif kepada perniagaannya kerana ramai pelanggan datang dari Kuala Lumpur dan Subang.

“Insya-Allah pelanggan akan bertambah sebab ramai pelanggan kami datang dari Kuala Lumpur dan Subang. Kadang-kadang mereka susah cari parkir dan terpaksa letak kereta di tepi jalan.
“Bila ada LRT ini, ia lebih memudahkan. Mereka boleh naik tren dan berjalan dalam tiga hingga lima minit sahaja ke butik kami,” katanya kepada Media Selangor.
Fadilah yang berulang-alik setiap hari dari Puchong ke Shah Alam berkata beliau juga menantikan operasi LRT3 kerana dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan harian.

Februari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Anthony Loke memaklumkan LRT3 yang menghubungkan Shah Alam ke Bandar Utama dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi bulan depan.
Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad mengumumkan pembukaan LRT3 ditangguhkan bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan dan penambahbaikan teknikal susulan beberapa isu dikenal pasti ketika fasa ujian serta pentauliahan.
Sementara itu, pekerja Bahari Asyek di Seksyen 13, Nurfatin Nadia, 32, berharap kemudahan baharu itu mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke premis berkenaan yang terletak berhampiran stesen Stadium Shah Alam.

“Dalam sehari kira-kira lima pelanggan datang. Ada pelanggan baharu tetapi kebanyakannya pelanggan tetap sebab ramai lagi belum tahu tempat ini. Saya percaya jumlah pengunjung akan meningkat apabila LRT mula beroperasi nanti,” katanya.
Beliau berkata capaian lebih baik melalui LRT3 juga memudahkannya mempromosikan butik itu kepada pengunjung luar selain berharap perkhidmatan berkenaan dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik terutama ketika musim perayaan.
Jurujual Medina Beauty Boutique di Seksyen 7, Tengku Erma, 36, pula yakin LRT3 mampu menjadi tarikan baharu kepada pengunjung untuk singgah ke kawasan komersial sekitar Shah Alam.

“Saya teruja sebab akan ada lebih banyak kemudahan untuk pengunjung pada masa depan. Orang ramai akan singgah ke kawasan ini kerana ia merupakan pusat komersial, jadi ia akan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.









