MPKL kompaun restoran di Bandar Saujana Putra, beroperasi tanpa lesen dan premis kotor

15 Mei 2026, 1:00 PM
MPKL kompaun restoran di Bandar Saujana Putra, beroperasi tanpa lesen dan premis kotor

SHAH ALAM, 15 MEI: Sebuah restoran di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) selepas dikesan beroperasi tanpa kelulusan lesen tetap serta gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.

MPKL memaklumkan pemeriksaan dilakukan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran terhadap premis berkenaan bagi memastikan kebersihan premis makanan sentiasa mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

"Pemeriksaan turut mendapati terdapat sisa makanan dibuang terus ke dalam longkang sehingga boleh menjejaskan kebersihan persekitaran serta mengundang pencemaran," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Susulan itu, MPKL mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007, UUK 9(f) atas kesalahan pengendali makanan yang gagal mendapatkan imunisasi demam kepialu (tifoid).

Pemeriksaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL terhadap sebuah restoran di Bandar Saujana Putra pada 14 Mei 2026 mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah serta gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat

Selain itu, satu Notis Kesalahan turut dikeluarkan di bawah UUK Establisymen Makanan (MDKL) 2007, UUK 15 kerana gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih dan baik pada setiap masa.

Bagi memastikan pematuhan, MPKL turut mengeluarkan arahan tindakan pembetulan kepada pemilik premis untuk dilaksanakan serta-merta, termasuk memastikan premis sentiasa bersih dan tersusun, perangkap minyak diselenggara setiap hari serta lantai dalam keadaan bersih dan kering.

Arahan lain turut merangkumi penyimpanan bahan mentah dengan betul, larangan meletakkan makanan di atas lantai, peti sejuk sentiasa bersih dan tersusun serta memastikan sisa makanan tidak dibuang ke dalam longkang.

Menurut MPKL, pemilik premis juga diarahkan menyimpan semua rekod premis dan pengendali makanan di lokasi bagi tujuan semakan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"MPKL akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap premis makanan bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.