Selgate buka hospital pakar di Sepang, Setia Alam menjelang 2027

22 Mei 2026, 8:00 AM
Selgate buka hospital pakar di Sepang, Setia Alam menjelang 2027

SHAH ALAM, 23 MEI: Dua lagi cawangan baharu Hospital Pakar Selgate akan dibuka di Sepang dan Setia Alam, masing-masing dijadual pada September tahun ini dan Februari 2027.

Ketua pegawai eksekutif Selgate Corporation Sdn Bhd berkata pendekatan berhati-hati pelan pembangunan dibuat berikutan permintaan khidmat kesihatan berkualiti semakin meningkat.

“Selain kos modal dan operasi yang tinggi, kami mahu memastikan setiap hospital yang dibuka mempunyai tenaga kerja mencukupi,” kata Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth kepada Media Selangor.

Jelasnya, cabaran utama membuka dan mengendalikan hospital antaranya memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk nisbah 1:2 jururawat kepada katil.

Menurutnya, keadaan itu semakin mencabar berikutan kekurangan tenaga jururawat di negara ini apabila ramai petugas kesihatan memilih bekerja di luar negara.

Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengurusan Hospital Pakar Selgate Rawang ketika melakukan lawatan kerja ke hospital itu pada 28 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Noor Hisham berkata pihaknya tidak tergesa-gesa untuk berkembang melebihi sasaran semasa iaitu membuka tujuh hospital di seluruh negara menjelang 2030 dengan kapasiti keseluruhan 1,000 katil.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama syarikat ketika ini adalah memperkukuh kehadirannya di Selangor sebelum mempertimbang peluasan operasi ke seluruh Malaysia dan antarabangsa.

“Kami akan mulakan di Selangor dahulu, kemudian ke seluruh Malaysia. Selepas mengendalikan beberapa hospital, barulah kami mempertimbangkan operasi antarabangsa,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Selgate Corporation mencatat satu pencapaian penting menerusi pelancaran hospital pakar di Rawang, fasiliti penjagaan kesihatan swasta utama pertamanya di wilayah tengah.

Pelancaran hospital itu mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, prihatin dan mudah diakses komuniti di seluruh Selangor.

Majlis perasmian Hospital Pakar Selgate Rawang akan diadakan pada Jumaat dan dijadual dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.